Kecoh satu Malaysia dakwaan culik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BOLEH dikatakan satu Malaysia masih memperkatakan isu dakwaan cubaan culik membabitkan murid sekolah kebelakangan ini.

Ia juga menjadi topik paling hangat di media sosial dan menarik perhatian ibu bapa.

Sebuah sekolah di Kelantan contohnya tular baru-baru ini apabila mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa berkait dengan risiko culik dalam kalangan murid. Cubaan culik juga didakwa berlaku di beberapa negeri lain.

Walaupun kebanyakan dakwaan culik itu kemudian dinafikan oleh pihak polis, namun ia tidak dapat melenyapkan kebimbangan orang ramai begitu sahaja.

Apatah lagi kegiatan sindiket itu dipercayai menyasarkan murid-murid sekolah dipercayai untuk tujuan eksploitasi dan keuntungan peribadi terus digembar-gemburkan dari masa ke masa.

Namun jika benar ada cubaan untuk menculik murid sekolah, ia sememangnya mengundang kebimbangan. Bayangkan kalau orang dewasa yang kena culik pun kita sudah risaukan keselamatan mereka, inikan pula anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban yang turut khuatir mengenai dakwaan insiden culik tersebut.

Jual organ?

Artikel Berkaitan:

Akhbar itu mahu pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga selain pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah keselamatan lebih efektif bagi mencantas kegiatan jenayah sindiket terbabit.

Menurut Malaysia Nanban, sejak beberapa minggu lalu kecoh mengenai dakwaan kejadian culik di beberapa negeri termasuk Pahang, Johor, Terengganu, dan Perak.

“Laporan mengenai insiden culik pelajar sekolah itu sebenarnya amat menakutkan dan merisaukan orang ramai,” kata akhbar itu.

Akhbar itu turut memaparkan data dari tahun 2020 hingga Februari 2022 yang menyaksikan kejadian penculikan melibatkan mangsa berusia di bawah 18 tahun di negara ini adalah seramai 1,509 orang.

Mujurlah dengan tindakan pantas dan bantuan pintar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 1,424 individu berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, sekitar 85 orang masih berstatus hilang dan pihak polis masih giat mencari mereka.

Malaysia Nanban menjelaskan sindiket culik di negara ini dibimbangi ada kaitan dengan aktiviti pemerdagangan organ manusia.

Apatah lagi baru-baru ini, ujar akhbar harian itu, telah tular informasi dalam media sosial yang memaparkan senarai harga untuk organ-organ manusia di pasaran gelap antarabangsa.

Menurut senarai harga tersebut, organ mata berharga RM1 juta, jantung (RM800,000), buah pinggang (RM600,000), hati (RM200,000) dan paru-paru RM100,000.

Justeru Malaysia Nanban mengesyorkan pihak pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan proaktif dengan mengawasi pergerakan murid terutama selepas habis sesi persekolahan.

Kebanyakan dakwaan kes culik murid sekolah dikatakan berlaku semasa pelajar dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Kementerian Pendidikan Malaysia turut wajar memberi perhatian serius manakala PDRM boleh melakukan rondaan secara lebih kerap di kawasan sekolah.

Dengan meningkatkan rondaan polis di kawasan sekolah, tentu lebih sukar menyukarkan penjenayah selain memberi kelegaan kepada guru-guru dan ibu bapa.

Malaysia Nanban juga melontarkan cadangan agar PDRM menubuhkan sebuah pasukan khas di bawah seliaan para pegawai di Bukit Aman bagi menangani isu culik murid sekolah.

Murid sekolah merupakan barisan pelapis negara, maka menyediakan ruang dan suasana kehidupan yang selamat serta bebas adalah tanggungjawab ibu bapa, guru, pentadbiran sekolah, KPM dan kerajaan.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor