PRU15: Rakyat Pahang perlu berani buat perubahan

Ahmad Nizam
Ahmad Nizam
A
A
A

KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Pahang meminta rakyat di negeri itu supaya berani mempamerkan kuasa mereka dengan menukar kerajaan terdahulu kepada kerajaan baharu yang lebih berintegriti dan berwibawa.

Pengarah strateginya, Ahmad Nizam Hamid berkata, perubahan itu boleh dilakukan melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai langkah permulaan.

“Kita masih tidak tahu bila PRU15 akan diadakan, tetapi kita yakin PH ada kekuatan dan kemampuan untuk mentadbir Pahang.

“Jadi, marilah buat perubahan dan rakyat Pahang juga perlu ada keberanian untuk memilih PH,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Jelajah PH Pahang di Jalan Alor Ladang 1, Beserah di sini pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, PH juga akan memastikan individu yang khianat dalam parti tidak boleh dijadikan pemimpin.

“Kita mahukan pemimpin yang setia pada perjuangan, orang khianat tidak akan diangkat sebagai pemimpin.

"Kita juga akan merampas kerusi 'pengkhianat' di Indera Mahkota dan dalam masa masa menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah pada PRU15," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PH Pahang, Young Syefura Othman berkata, sudah tiba masanya rakyat Pahang membuat perubahan terhadap tampuk pemerintahan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Young Syefura
Young Syefura

Jelasnya, ini kerana selama 63 tahun pentadbiran BN, banyak isu rakyat seperti masalah air, tanah dan banjir gagal ditangani secara berkesan oleh parti melayu terbesar itu.

"Mereka (BN) tidak pernah menyelesaikan isu penting ini sehingga kini. Adakah rakyat masih mahu beri peluang lagi kepada BN untuk memerintah lima tahun lagi dengan kegagalan mereka menyelesaikan isu air, tanah dan banjir.

"Jadi, sudah tiba masanya untuk rakyat tukar, beri peluang kepada PH untuk mentadbir Pahang supaya boleh menjadi seperti kerajaan Selangor," kata beliau.

Young Syefura yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketara menjelaskan, tempoh 22 bulan pemerintahan PH sebenarnya menjadi penyebab BN terseksa.

"BN (UMNO) terseksa sebab mereka hilang kuasa," tegas beliau lagi.