Pahang perlu elak kesilapan mudah berdepan Selangor

Brundo dan pemain Tok Gajah giat menjalani latihan. - Foto Facebook Sri Pahang FC
Brundo dan pemain Tok Gajah giat menjalani latihan. - Foto Facebook Sri Pahang FC
A
A
A

SRI Pahang perlu mengelakkan melakukan kesilapan mudah apabila berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang Selangor FC dalam pusingan 16 Piala FA pada Sabtu.

Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Stefano Brundo berkata, perlawanan di laman The Red Giants itu sangat penting memandangkan ia adalah aksi kalah mati.

Jadi tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemain untuk memberikan sepenuh tumpuan memburu jaringan berharga dalam tempoh 90 minit.

“Saya tidak menjangkakan Sri Pahang berdepan laluan mudah sebaliknya perlu lebih berhati-hati bagi memastikan tiada kesilapan dilakukan terutamanya pada minit-minit akhir.

“Kalau kita tengok semula ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super, mereka berjaya menjaringkan gol pada minit akhir menyaksikan kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

“Itu sungguh mengecewakan tetapi esok kita tidak boleh buat kesilapan sama dan satu pasukan harus menang dalam tempoh 90 minit perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Argentina itu cemerlang dengan enam gol secara keseluruhan termasuk satu jaringan dalam saingan Piala FA terus menjadi sandaran pengendali Fandi Ahmad.

Malah dia juga turut cemerlang di bahagian tengah bersama-sama Nor Azam Azih dalam merencanakan pergerakan pasukan.

Dalam pada itu, Brundo mengakui gembira apabila Tok Gajah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan liga sebelum ini.

“Tentunya saya sangat gembira kerana terlebih dahulu Pahang masih belum tewas dalam lapan aksi liga dan secara peribadi saya juga gembira dengan gol yang telah dijaringkan untuk bantu pasukan.

“Saya pun sudah mula bermain di bahagian tengah dan bila ada peluang, saya akan cuba bantu di bahagian depan juga, tetapi ini adalah kerjasama satu pasukan.

“Azam juga banyak membantu dalam melakukan hantaran dan saya rasa dengan usaha keras semua pemain ini, kami boleh terus melakukan yang terbaik,” katanya.