Sri Damansara catat jenayah tertinggi curi kenderaan

Mohamad Fakhrudin (empat, kiri) ketika merasmikan program Karnival Hari Polis bersama Komuniti dan Pelancaran Pencegahan Jenayah IPD Petaling Jaya dan Carsome.
Mohamad Fakhrudin (empat, kiri) ketika merasmikan program Karnival Hari Polis bersama Komuniti dan Pelancaran Pencegahan Jenayah IPD Petaling Jaya dan Carsome.
A
A
A

PETALING JAYA - Kawasan Sri Damansara mencatatkan kadar jenayah tertinggi melibatkan kecurian kenderaan dengan 105 kes termasuk motosikal setakat September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes kecurian kenderaan bagi kawasan seluruh pentadbiran IPD Petaling Jaya pada tahun ini merekodkan sebanyak 344 kes.

"Statistik ini merangkumi jumlah kecurian melibatkan kereta iaitu sebanyak 95 kes, motosikal sebanyak 236 kes dan jentera berat sebanyak 13 kes.

"Bagi kawasan Sri Damansara, kes kecurian kenderaan melibatkan kereta dicatatkan sebanyak 61 kes dan motosikal sebanyak 44 kes," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Karnival Hari Polis bersama Komuniti dan Pelancaran Pencegahan Jenayah IPD Petaling Jaya dan Carsome di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai di sini pada Sabtu.

Katanya, bagaimanapun indeks jenayah bagi Petaling Jaya mencatatkan penurunan sebanyak 18.5 peratus pada tahun ini.

"Kadar indeks jenayah pada tahun ini mencatatkan penurunan 112 kes berbanding tahun 2021.

"Setakat ini sebanyak 171 kes kecurian kenderaan berjaya diselesaikan pada tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama daripada masyarakat amat penting dalam bersama membantu polis dalam mencegah jenayah.

"Sri Damansara merupakan salah satu kawasan hotspot melibatkan kes kecurian kenderaan yang mana antara kawasan diberikan tumpuan dalam usaha mencegah jenayah.

"Masyarakat diharap agar menjadi mata dan telinga polis dalam menyampaikan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah untuk diambil tindakan oleh pihak polis," katanya.