Sports Direct barakan SCL 2022

Tengku Amir Shah (kiri) bersama pengarah Sports Directs Malaysia Sdn. Bhd Paul Gibbons pada majlis tandatangan kerjasama antara Sports Direct dan FAS pada Jumaat
Tengku Amir Shah (kiri) bersama pengarah Sports Directs Malaysia Sdn. Bhd Paul Gibbons pada majlis tandatangan kerjasama antara Sports Direct dan FAS pada Jumaat
A
A
A

KEJUARAAN Selangor Champions League (SCL) 2022 bukan sahaja akan dimeriahkan dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan malah turut menarik minat pengedar barangan sukan antarabangsa, Sports Direct.

Kerjasama yang dimeterai antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan Sports Direct bagi tempoh dua tahun pastinya melonjakkan imej FAS di pentas antarabangsa.

Penganjuran memasuki edisi kali keenam ini disertai 16 pasukan dengan Sports Direct akan menjadi penaja berstatus Perak.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izrin Nabil Ismail berkata, kerjasama yang dimeterai selama dua tahun itu bermula dengan kejohanan SCL bermula hari ini.

“Selaku penaja berstatus Perak, Sports Direct akan terlibat sama dalam program pembangunan FAS, pemasaran dan juga penjenamaan.

“Untuk tahun pertama, jumlah tajaan keseluruhan RM50,000 membabitkan barangan dan kewangan,” katanya pada Majlis tandatangan kerjasama antara Sports Direct dan FAS yang turut dihadiri Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.

Tambah Izrin Nabil, edisi tahun ini dianggap istimewa dengan penyertaan beberapa bekas pemain negeri dan juga kebangsaan.

“Razman Roslan, Shukor Adan, Amirulhadi Zainal, Azmeer Yusof antara beberapa pemain yang bakal menghiasi kejohanan bermula 8 Oktober hingga 10 Disember depan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

SCL merupakan platform yang mengumpulkan pasukan-pasukan amatur terbaik daripada komuniti bola sepak akar umbi di Selangor, diilhamkan Tengku Amir Shah akan disertai lebih 500 pemain.

Lapan pasukan dalam setiap kumpulan akan bermain tujuh perlawanan, dengan empat pasukan teratas layak ke suku akhir.

Daripada 16 pasukan, 10 pasukan akan bertanding dalam SCL untuk kali pertama, manakala dari enam pasukan yang kembali, hanya NPNG Damansara Perdana dan Belia Selangor tidak bersaing pada edisi lalu.

Empat pasukan lain, naib juara edisi 2021 KRU Port Klang, MPKJ, Kelana United dan Kajang Bujangga melengkapkan barisan pasukan untuk SCL tahun ini.