Pantau media sosial

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Polis dan masyarakat amat memerlukan antara satu sama lain dan saling berkait rapat dalam memastikan usaha membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Tanpa kerjasama masyarakat setempat, usaha pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dilihat sukar, tambahan pula jika ia dilakukan oleh sebelah pihak saja.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penduduk setempat wajar bersama polis untuk mengurangkan indeks jenayah di sesebuah kawasan.

“Sokongan dan bantuan daripada masyarakat dalam membantu membanteras jenayah amat diperlukan dan dihargai.

“Tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dipikul bersama sekali gus dapat memantapkan lagi usaha membanteras jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, baru-baru ini.

Lawatan kerja Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi di IPD Ampang Jaya.
Lawatan kerja Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi di IPD Ampang Jaya.

Salur maklumat jenayah kepada polis melalui Facebook

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui Facebook Polis Daerah Ampang Jaya Page.

“Facebook tersebut juga dijadikan sebagai platform komunikasi dua hala antara masyarakat dengan Polis Ampang Jaya.

“Saya sendiri akan memantau maklumat-maklumat yang disampaikan oleh masyarakat dalam Facebook setiap hari,” katanya.

Menurut Mohamad Farouk, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan ahli-ahli Kawasan Rukun Tertangga (KRT) di Ampang Jaya.

“Sebenarnya KRT juga banyak membantu polis dalam usaha membanteras jenayah dengan melaksanakan skim rondaan sukarela,” katanya.

Tambah beliau, KRT turut berperanan dalam membantu menurunkan kadar jenayah di kawasan Ampang Jaya.

“Kadar jenayah di kawasan Ampang Jaya berkurangan sebanyak 23.83 peratus peratus bersamaan 229 kes indeks jenayah sejak Januari hingga September lalu,” jelas beliau.

Mohamad Farouk berkata, beliau turut meningkatkan omnipresence dan rondaan melibatkan unit kereta peronda (MPV).

“Saya telah mengarahkan unit MPV melaksanakan kekerapan rondaan serta memasang lampu mata arah (strobe light) dalam usaha memantau serta mencegah jenayah,” katanya.

Mohamad Farouk bersama agensi berkaitan dengan masyarakat yang hadir pada 'Townhall Discussion' ke arah Bandar Selamat Ampang Jaya 2022 dianjurkan oleh IPD Ampang Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), baru-baru ini
Mohamad Farouk bersama agensi berkaitan dengan masyarakat yang hadir pada 'Townhall Discussion' ke arah Bandar Selamat Ampang Jaya 2022 dianjurkan oleh IPD Ampang Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), baru-baru ini

Farouk timba banyak pengalaman sejak 25 tahun bersama PDRM

Mohamad Farouk berkata, beliau mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Januari 1997.

“Sepanjang tempoh 25 tahun bersama PDRM, saya menimba pengalaman dalam pelbagai jabatan antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Pengurusan, selain pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.

Mohamad Farouk berkata, pengalaman tersebut banyak membantu beliau menguruskan pasukannya di IPD Ampang Jaya.

“Pengalaman tersebut juga dapat membantu saya menangani kelemahan dalam menguruskan pasukan di IPD Ampang Jaya,” katanya.

Beliau memberitahu, pucuk pimpinan PDRM turut memberi dorongan serta sokongan kepada pegawai dan anggota polis yang mempunyai kemahiran multi tasking dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Mohamad Farouk berharap anggota dan pegawai di IPD Ampang Jaya bersikap profesional dalam melaksanakan tugas.
Mohamad Farouk berharap anggota dan pegawai di IPD Ampang Jaya bersikap profesional dalam melaksanakan tugas.

“Saya perlu fokus dan mempunyai perancangan sebelum bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.

“Saya telah mendapatkan ilmu dan ‘berguru’ dengan pegawai-pegawai lain yang berpengalaman kerana saya perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk isu bencana alam di Ampang Jaya,” katanya.

Mengenai status pendidikannya, Mohamad Farouk berkata, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Universiti Sains Malaysia) Diploma Lanjutan Psikologi (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Sarjana pembangunan Sumber Manusia (Universiti Teknologi Malaysia).

“Saya mula berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya pada 14 Oktober 2020.

“Pada ketika itu, kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, cabaran juga berbeza berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita perlu memastikan masyarakat memahami dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh PKP itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata, pengurangan kadar jenayah pada ketika itu amat ketara.

“Pegawai dan anggota polis turut terdedah kepada jangkitan Covid-19 sepanjang melaksanakan tugas, selain menguruskan orang kena tahan (OKT),” katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya juga turut terlibat dalam operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Keselamatan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah bermula 19 Julai 2021 hingga 31 Julai 2021.

“Kita perlu memantau dan menjaga masyarakat di kawasan itu supaya mereka tidak terabai dari keperluan asas sepanjang tempoh PKPD,” katanya.

Mohamad Farouk mengimbau detik awal berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, beliau melakukan perubahan dengan menambah baik sistem perkhidmatan setelah melihat ‘struktur dalaman’ IPD itu.

Mohamad Farouk hadir pada latihan kawad bulanan di IPD Ampang Jaya.
Mohamad Farouk hadir pada latihan kawad bulanan di IPD Ampang Jaya.

“Saya perlu menguruskan sumber manusia, selain menambah baik aspek pencegahan jenayah dan meningkatkan rondaan bagi membanteras aktiviti jenayah,” kata beliau.

Menurut Mohamad Farouk, polis berhadapan dengan cabaran membanteras aktiviti jenayah di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi.

“Kita tiada masalah dalam siasatan kes jenayah sehingga berjaya mendakwa suspek di mahkamah, walaupun berhadapan dengan kekurangan logistik dan anggota polis,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga menjalinkan kerjasama erat dengan IPD kawasan lain di Lembah Klang seperti IPD Gombak, IPD Cheras dan IPD Wangsa Maju dalam usaha membanteras jenayah.

“Ketua Polis Daerah Gombak, Cheras dan Wangsa Maju turut memberi kerjasama serta membantu memberkas suspek di dua daerah tersebut,” ujarnya.

Insiden tanah runtuh, helikopter terhempas sukar dilupakan

Mohamad Farouk turut berkongsi pengalaman selama dua tahun menjadi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dan antara peristiwa sukar dilupakan adalah mengendalikan insiden helikopter terhempas di Taman Melawati pada 8 November 2020.

“Kejadian nahas helikopter terhempas itu merupakan insiden terbesar apalagi saya baharu tiga minggu menjadi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya,” katanya.

Kejadian yang berlaku pada 11.50 pagi itu melibatkan dua helikopter yang berlanggar ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Satu daripada helikopter itu terhempas manakala sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati.

Media melaporkan identiti dua mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohamed Sabri Baharom dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, manakala yang terselamat adalah Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Eian.

Mohamad Farouk berkata, selain itu, pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai pada 10 Mac lalu.

Mohamad Farouk ketika sidang akhbar pada insiden helikopter terhempas di Taman Melawati.
Mohamad Farouk ketika sidang akhbar pada insiden helikopter terhempas di Taman Melawati.

“Cabaran pengurusan bencana melibatkan pelbagai agensi amat mencabar, malah saya selaku 'ground commander' di lapangan perlu memastikan operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar.

“Agensi yang terlibat juga memberi sokongan yang terbaik, masing-masing mengetahui peranan dalam operasi tersebut,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang 10 Mac lalu, tiga buah kediaman tertimbus, 15 buah rumah terjejas dan 10 kenderaan rosak apabila berlaku tanah runtuh di Taman Bukit Permai.

Akibat kejadian itu, empat penghuni termasuk seorang wanita tertimbus manakala seorang pekerja Air Selangor yang melakukan pekerja penyelenggaraan tidak sempat melarikan diri dan turut terperangkap dalam runtuhan itu.

Empat mangsa yang disahkan maut ialah Chong Siew Kim, 85; E Ramasamy, 58; A Mahendran, 36; dan Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37.

Seorang lagi mangsa yang cedera ialah Cheng Kim Cheng berusia 85 tahun.

Tegas dalam melaksanakan tindakan

Ketika mengulas berkaitan isu integriti, Mohamad Farouk berkata, beliau tegas dalam melaksanakan tindakan tatatertib terhadap anggota polis di IPD Ampang Jaya.

“Saya terpaksa bertegas untuk melaksanakan tindakan tatatertib bukan niat untuk menganiaya anggota polis tersebut.

“Tindakan ini adalah untuk ‘menyelamatkan’ serta memberi pengajaran kepada anggota polis lain daripada melakukan kesalahan yang sama,” kata beliau.

Mohamad Farouk berkata, beliau akan memberi peringatan awal, sebelum mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota berkaitan.

“Tindakan tatatertib akan dilaksanakan jika anggota berkenaan masih ingkar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini banyak perubahan dalam kalangan anggota polis di IPD Ampang Jaya.

“Saya sentiasa memikirkan kebaikan untuk anak buah di IPD Ampang Jaya, dan mengambil tindakan dalaman terlebih dulu supaya mereka tahu jangan melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, beliau berpuas hati dan berharap warga IPD Ampang Jaya dapat mengekalkan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kita menuju ke arah pengurusan polis bertaraf dunia. Saya berharap petugas barisan hadapan di IPD Ampang Jaya mempunyai ilmu dan bersikap profesional dalam melaksanakan tugas,” ujarnya.