Lima wilayah koridor terima RM1.4 bilion

Tengku Zafrul ketika pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.
Tengku Zafrul ketika pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara program utama yang dijalankan tahun hadapan adalah Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta.

"Kedua, Program Pembangunan Modal Insan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40 dengan peruntukan RM63 juta," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Menurutnya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dan RM250 juta untuk pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah.

"Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak pula diperuntukkan RM100 juta," katanya.

Beliau berkata, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

"Pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ Delapan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun hadapan, RM25 juta disediakan untuk menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan," katanya.