RM36 juta untuk lindungi haiwan liar termasuk harimau, gajah

Kerajaan memperuntukkan RM36 juta untuk lindungi haiwan liar termasuk harimau, gajah. - Gambar hiasan
Kerajaan memperuntukkan RM36 juta untuk lindungi haiwan liar termasuk harimau, gajah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM36 juta diperuntukkan bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Ujar beliau, bilangan renjer komuniti yang mengawal biodiversiti kawasan hutan akan ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 orang dan digajikan dari kalangan komuniti tempatan khususnya Orang Asli dan veteran dengan peruntukan keseluruhan RM39 juta.

Jelasnya, kerajaan juga prihatin terhadap khazanah biodiversiti yang tidak ternilai.

“Alhamdulillah, hasil keringat 7,000 peserta berdaftar, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025 telah berjaya menanam lebih 46 juta pokok terdiri daripada lebih 1,300 spesies. Kerajaan juga akan terus mempergiat projek restorasi hutan bagi menanam anak-anak pokok antaranya di kawasan Hutan Simpan Wilayah Perhutanan Sandakan, Sabah.

“Meskipun perkembangan ini baik, namun, aktiviti yang memberi impak kepada khazanah alam perlu segera dikawal. Ini termasuklah pembalakan haram dan pembalakan besar-besaran serta penjualan hidupan yang dilindungi termasuklah juga telur penyu.

“Maka, bagi menyokong usaha yang diambil kerajaan negeri dalam mengurus dan meningkatkan keluasan kawasan perlindungan flora dan fauna, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada RM100 juta setahun iaitu penambahan sebanyak RM30 juta,” tambahnya.

Tambah Tengku Zafrul, sebanyak RM216 juta disediakan bagi projek pemuliharaan sungai seluruh negara antaranya di Muara Sungai Merang, Terengganu dan Muara Sungai Perak yang terdiri daripada usaha memperbaik, membersih dan merawatnya.

Artikel Berkaitan: