Bajet 2023 sokong pengusaha PMKS

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat. - Foto Bernama.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bajet 2023 menyokong aktiviti perniagaan khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai.

"Fokus pertama adalah potongan cukai dan geran tunai," katanya

Menurutnya, berdasarkan sasaran Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK12), PMKS dijangka menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport negara menjelang tahun 2025.

"Selain itu, sebagai usaha membantu khususnya penjaja kecil berniaga, sukacita juga diumumkan, kerajaan akan memberikan geran one-off sebanyak RM1,000 ringgit kepada semua syarikat PMKS berdaftar dan pemandu teksi berdaftar," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1 juta perniagaan dijangka menerima manfaat daripada pemberian itu dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.

Dengan iltizam merancakkan lagi aktiviti perniagaan, Tengku Zafrul berkata, SemarakNiaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan bagi tahun 2022.

"Nilai ini merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sejumlah RM1.7 bilion daripada tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.

"Antaranya, pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan ketersediaan dana RM950 juta. Ini termasuk RM350 juta untuk Skim

Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dengan RM150 juta dikhususkan untuk peniaga Bumiputera," katanya.

Beliau berkata, skim pinjaman kepada pengusaha kecil di bawah TEKUN khusus untuk Bumiputera, wanita, belia dan sektor tidak formal diperuntukkan sebanyak RM300 juta.

"Kemudahan pinjaman perniagaan khusus kepada kaum cina dengan ketersediaan dana RM200 juta dan kadar faedah serendah empat peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM25 juta disediakan bagi kemudahan pinjaman mikro di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).

"Selain itu, RM100 juta juga disediakan di bawah MITRA antaranya bagi pembangunan usahawan kaum india dan sebanyak RM10 juta disediakan bagi program kewangan sosial iTEKAD dan turut dipadankan bersama dana institusi kewangan melalui sumbangan zakat serta wakaf tunai," katanya.