[VIDEO] Bajet 2023: Kadar cukai pendapatan dikurangkan dua peratus

Kerajaan mengumumkan kadar cukai pendapatan dikurangkan sebanyak dua peratus. - Gambar hiasan
Kerajaan mengumumkan kadar cukai pendapatan dikurangkan sebanyak dua peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak pernah melupakan isi rumah pertengahan dan sentiasa berusaha untuk menambah pendapatan boleh guna untuk golongan M40.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hampir satu juta pembayar cukai bakal menerima manfaat apabila kadar cukai pendapatan individu bermastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM50,000 hingga RM100,000.

“Banjaran bercukai RM50,000 hingga RM70,000 kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus dan banjaran pendapatan lebih RM70,000 hingga RM100,000 kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus.

“Pada masa yang sama, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25 peratus,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tambah Tengku Zafrul, dengan layanan khas cukai pendapatan ini, penjimatan cukai kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1,000 dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250.

Katanya, ini bermakna, dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan: