[VIDEO] Bajet 2023: Ibu penerima BKM diberi bantuan one-off RM500

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan di bawah inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia memberi bantuan tunai one-off sebanyak RM500 kepada golongan ibu dari isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta itu bertujuan bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa yang sama mengurangkan kanak-kanak bantut.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar fertiliti negara pada 1970 ialah 4.9 orang bayi untuk setiap wanita, namun kini telah jatuh ke tahap terendah iaitu 1.7 orang bayi.

“Sementara itu, kanak-kanak daripada keluarga susah khususnya berdepan dengan masalah malpemakanan sehingga mengganggu tumbesaran mereka lebih-lebih lagi sejak Covid-19 melanda.

“Bagi meningkatkan kadar kelahiran dan dalam masa yang sama mengurangkan masalah kanak-kanak bantut, di bawah inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai 'one-off' RM500 dengan peruntukan RM150 juta,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menurutnya, usaha tersebut bagi memastikan aspek kebajikan kanak-kanak akan terus dititikberatkan.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk pembinaan 10 taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan.

“Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang memberikan pendidikan awal anak-anak, kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar,” ujarnya.