Majlis Ukhuwah Ramadan 2023 rai penerima sumbangan

Aswara menerima sumbangan gerobok kasih sayang berjumlah RM10,000 daripada PPZ-Maiwp
Aswara menerima sumbangan gerobok kasih sayang berjumlah RM10,000 daripada PPZ-Maiwp
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Ukhuwah Ramadan 2023 meraikan penerima sumbangan program Gerobok Kasih Sayang dan Tabung Wakalah Zakat anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Bahagian Komunikasi Korporat Aswara dalam kenyataan berkata, program tersebut merupakan inisiatif Aswara dalam meringankan beban pelajar dari segi menyediakan barangan keperluan untuk kegunaan mereka.

"Program rintis Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Aswara ini menggunakan konsep berkongsi rezeki dengan meletakkan apa jua keperluan pelajar di dalam almari atau gerobok yang disediakan.

"Antara penyumbang utama Program Gerobok Kasih Sayang ini ialah Yayasan Al-Manjie, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Madrasah Bustanul Ulum Taman Tugu, Syarikat Suria Insan Resources Sdn Bhd dan sumbangan juga terdiri dalam kalangan warga Aswara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan tersebut, kemuncak Majlis Ukhuwah Ramadan tahun ini ialah Majlis Berbuka Puasa warga Aswara bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Khairul Firdaus turut akan meluangkan masa beramah mesra dan berbuka puasa bersama warga Aswara dan pengurusan tertinggi agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Khairul Firdaus (empat dari kanan) bersama penyumbang utama Program Gerobok Kasih Sayang di Dewan Orkestra Aswara pada Jumaat.
Khairul Firdaus (empat dari kanan) bersama penyumbang utama Program Gerobok Kasih Sayang di Dewan Orkestra Aswara pada Jumaat.

"Objektif utama majlis ini adalah bertujuan memupuk silaturahim dalam kalangan warga kerja Aswara serta menyucikan jiwa sempena datangnya bulan Ramadan.

"Timbalan Menteri turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib seterusnya menikmati jamuan berbuka puasa sebelum menunaikan solat Isyak serta sunat tarawih berjemaah bersama warga Aswara," ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, pelbagai pengisian menarik telah dirancang sempena majlis tersebut.

"Lebih menarik lagi, amalan rewang yang sememangnya terkenal dalam masyarakat dahulu turut diselitkan sebagai salah satu wadah pengisian yang menarik.

"Sesi penyediaan juadah berbuka puasa secara rewang ini diadakan di perkarangan asrama turut melibatkan para pelajar Aswara bersama badan sukarelawan MVM," jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!