Puchong United, Sena Bangkok lengkapkan slot separuh akhir

Yew Sin-Ee Yi bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan gandingan Wee Kiong-Kittisak Namdash 3-2 (9-11 11-8 11-6 7-11 11-6).
Yew Sin-Ee Yi bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan gandingan Wee Kiong-Kittisak Namdash 3-2 (9-11 11-8 11-6 7-11 11-6).
A
A
A

SAINGAN SENHENG redONE Purple League Profesional 2022 semakin sengit apabila empat pasukan terbaik mengesahkan kemaraan ke separuh akhir di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu.

Dua kelab yang mengiringi Petaling BC dan Ampang Jaya BC ialah juara bertahan Puchong United BC dan pendatang baharu dari Thailand, Kelab Sena Bangkok.

Puchong United muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan, Kelab Sena Bangkok 12-7 pada perlawanan terakhir kumpulan sekali gus mengutip keseluruhan 41 mata set berbanding Sena Bangkok di tempat kedua dengan 33 mata.

Pengurus pasukan, Irina Inozemtseva berkata, kejayaan pasukannya yang muncul juara Kumpulan B adalah hasil usaha berpasukan yang berhempas pulas mengutip mata pada setiap perlawanan.

“Saya juga berterima kasih kepada para pemain profesional yang beraksi buat pasukan.

“Mereka telah memainkan peranan yang penting lebih-lebih lagi system permainan 11 mata ini menuntut intensiti yang tinggi,” katanya.

Puchong United bermula garang dengan Lim Chi Wing menang 3-0 (11-5 11-6 11-4) ke atas Kachain Buarung dalam tempoh 17 minit.

Pemain wanita ranking ke-12 dunia, Busanan Ongbumrungphan pula menghadiahkan tiga mata berharga buat Sena Bangkok selepas menundukkan Soniia Cheah 3-2 (11-6 4-11 11-8 8-11 1-6).

Artikel Berkaitan:

Aksi beregu lelaki menyaksikan pasangan Ong Yew Sin - Teo Ee Yi bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan gandingan Tan Wee Kiong - Kittisak Namdash 3-2 (9-11 11-8 11-6 7-11 11-6) menjadikan kedudukan 8-5 memihak Puchong United.

Sementara itu, menurut Yew Sin, kelebihan memihak mereka selepas sudah biasa berlatih bersama Tan Wee Kiong di dalam kem kebangsaan satu ketika dahulu.

“Kami memang sudah biasa beraksi dengan Wee Kiong. Jadi, sudah pasti ia memberi kelebihan buat kami untuk membaca permainan beliau dan pasangan,” ujarnya.

Puchong United mengesahkan kemenangan selepas gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah menewaskan Pongsakorn Thongkham-Peereya Munkitamorn 3-0 (11-8 11-10 11-10).

“Kami lega dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

“Sudah pasti cabaran yang berbeza akan dihadapi kami lebih-lebih lagi beraksi di peringkat kalah mati selepas ini,” ujar Liu Ying,

Liew Daren yang turun pada perlawanan terakhir menyelesaikan misi Puchong United untuk menjinakkan Kittipong Imnark 3-0 (11-8 11-5 11-8).

Puchong United akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Ampang Jaya BC sementara Sena Bangkok akan berdepan cabaran Petaling BC yang akan ke Genting Highlands selaku juara Kumpulan A.

Pusingan akhir saingan liga badminton profesional negara, SENHENG redONE Purple League Profesional 2022 akan melabuhkan tirainya pada Ahad dengan pusingan akhir berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands bermula Sabtu ini.