'Saya tidak diminta takfsir RM1 juta diterima Shahrir'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis bahawa pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memintanya membuat penaksiran bagi menentukan sama ada wang RM1 juta yang didakwa diterima Tan Sri Shahrir Ab Samad adalah pendapatan atau tidak.

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, pegawai penyiasat itu juga tidak mengemukakan sebarang dokumen berkaitan penerimaan wang RM1 juta, sebaliknya hanya memberitahu bahawa Shahrir menerima wang berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada LHDN.

Syed Faisal Al-Edros: Kalau nak tentukan sama ada RM1 juta yang Tan Sri Shahrir terima merupakan pendapatan atau tidak, tempat yang terbaik adalah penaksir cukai seperti Tuan Zul sendiri?

Tuan Zulkfli: Betul.

Saksi pendakwaan ke-21 itu bersetuju dengan peguam bahawa adalah menjadi bidang kuasa LHDN untuk menentukan RM1 juta yang diterima Shahrir merupakan pendapatan atau tidak.

Ditanya adakah pegawai penyiasat memberitahu saksi bahawa Shahrir ada menceritakan beliau tidak mahu bertanding (Parlimen Johor Bahru) semasa berjumpa pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika itu (Najib) selepas beberapa bulan Shahrir memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru kerana duit simpanannya telah digunakan untuk membaik pulih Projek Puri Langkasuka, Larkin yang terbengkalai, Tuan Zulkfli menjawab "Tidak ada”.

Syed Faisal Al-Edros: Apabila pengerusi BN mendengar tentang perkara itu, pengerusi BN keluarkan cek berjumlah RM1 juta kepada beliau (Shahrir) itulah yang membawa kepada pertuduhan ini, jadi pengeluaran cek itu ada diberitahu pengawai penyiasat kepada Tuan Zulkfli?

Artikel Berkaitan:

Tuan Zulkfli: Bukan pengeluaran cek tapi penerima (Shahrir) menerima cek RM1 juta.

Berikutan jawapan saksi itu, peguam itu bertanya lagi, adakah beliau mengetahui dan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat mengenai sejarah yang membawa kepada penerimaan RM1 juta itu, Tuan Zulkfli berkata "Tidak”.

Saksi itu tidak pasti apabila peguam itu mencadangkan kepadanya bahawa wang RM1 juta yang diterima Shahrir bukan pendapatan yang dikenakan cukai kerana ia adalah wang diamanahkan untuk perbelanjaan projek Puri Langkasuka, bukan untuk kegunaannya sendiri.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 4 November ini. - Bernama