Bayi meninggal dunia selepas makan epal lenyek

Muhammad Fadlan kiri dan isterinya dua kanan bersama anak-anak mereka. (Gambar kecil: Muhammad Fawas)
A
A

KUPANG - Seorang bayi berusia sembilan bulan meninggal dunia selepas dipercayai makan buah epal lenyek yang diberi pengasuhnya di sebuah taska, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada sesi makanan ringan di taska berkenaan pada jam 9.15 pagi.

Ibu mangsa, Munirah Abd Rahman, 38, dari Kampung Landak berkata, anaknya, Muhammad Fawas meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya diberikan buah epal yang telah dilenyek.

"Kemudian makanan yang sama disuap kepada seorang lagi anak pengasuh perempuan seusia anak saya," katanya kepada Sinar Harian.

Munirah berkata, bayinya kemudian menangis dan keadaannya lemah serta tidak bermaya.

"Anak saya belum ada gigi, mungkin dia tertelan terus. Pengasuh yang menyangka anak tercekik cuba keluarkan makanan tersebut guna jari, tapi tak berjaya," katanya.

Menurutnya, pihak tadika kemudiannya menghantar Muhammad Fawas ke Klinik Kesihatan Kampung Landak.

"Lepas tu anak saya dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia di sana," katanya.

Munirah yang juga guru Sekolah Menengah Agama Diniah Islamiah itu berkata, kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu diketahuinya ketika dia berada di sekolah.

"Pihak taska ada hubungi tapi saya tak jawab sebab sedang mengajar. Saya dapat tahu hanya daripada kawan," katanya

Katanya, bagaimanapun dia dan suami, Muhammad Fadlan Saidin, 38, menerima takdir ini dengan reda.

"Kami terima ujian ini. Daripada anak sulung sampailah anak bongsu semuanya kami hantar ke tadika yang sama," katanya.

Terdahulu, tular di WhatsApp, Muhammad Fadlan yang merupakan AJK Pemuda Pas Baling memohon doa untuk anaknya yang sedang diberikan rawatan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan ke ruang dapur pada jam 9.15 pagi di taska tersebut.

"Semasa mangsa sedang diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuh, tiba-tiba dia menangis dengan kuat kerana hendak mengikut penyelia pengasuh," katanya

Beliau berkata, dalam masa sama tiba-tiba mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Seterusnya mangsa telah dibawa oleh penyelia pengasuh ke Klinik Kupang. Ketika itu mangsa masih bernyawa.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Baling dan apabila sampai telah disahkan meninggal dunia. Tubuh badan mangsa tiada kesan luka atau lebam akibat perbuatan jenayah," katanya.

Mayat mangsa dirujuk hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.