Tarik balik kes bekas ketua pengarang The Edge: Dr Mahathir

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Dr Mahathir di laman Facebook.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Dr Mahathir di laman Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Jabatan Peguam Negara supaya menarik balik kes berhubung bekas ketua pengarang The Edge yang menghadapi tuduhan kesalahan jenayah fitnah berikutan dua laporan berita yang diterbitkannya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, biarlah kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian mereka itu melalui tindakan sivil.

Beliau berpandangan, Jabatan Peguam Negara masih boleh membetulkan keadaan tersebut.

"Saya sangat terganggu dengan pertuduhan fitnah jenayah terhadap editor The Edge, Azam Aris berhubung dua artikel yang diterbitkannya.

"Pertama sekali adalah individu atau syarikat berkenaan yang merasakan dianiaya sepatutnya menyaman editor dan penerbitan kerana memfitnah.

"Inilah berlaku dalam kebanyakan kes lain yang kita saksikan dalam pertikaian melibatkan laporan media," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bekas ketua pengarang penerbitan The Edge, Ahmad Azam Mohd Aris didakwa mengikut Kanun Keseksaan di dua Mahkamah Majistret berasingan di Petaling Jaya berhubung dua laporan berita yang diterbitkan mengenai lonjakan saham penny stock pada 2020.

Azam didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah memfitnah dan seorang pengarang semasa, M Shanmugam juga dinamakan dalam salah satu pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, tindakan editor didakwa dan digari sebagai penjenayah biasa adalah sesuatu yang menakutkan.

"Selain ia menghalang usaha untuk mempromosikan kebebasan akhbar yang telah dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dalam pemerintahannya.

"Tindakan sedemikian hanya akan menghakis lagi kebebasan dalam penarafan akhbar, yang mana telah mengalami kemerosotan besar dalam dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, lebih memburukkan lagi adalah menggari seorang editor memberi isyarat sangat salah kepada negara berkenaan dengan sistem keadilan dan peraturan undang-undang.

"Ini apabila penjenayah berprofil tinggi lain yang pernah disabitkan kesalahan boleh berjalan dengan bebas tanpa gari dan malah dibenarkan menghadiri sidang Parlimen.

"Walaupun kedua-dua kes itu berbeza, prinsip keadilan dan kesaksamaan harus digunakan secara sama rata," katanya.