Bekas Ketua Pengarang The Edge didakwa fitnah individu, syarikat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn Bhd dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan memfitnah seorang individu bergelar Datuk dan empat buah syarikat menerusi penyiaran dua artikel dalam The Edge Malaysia.

Ahmad Azam Mohd Aris, 61, kini editor sambilan di portal berita The Edge mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Nurshahira Abdul Salim.

Di hadapan Zhafran, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, memfitnah Datuk Kua Khai Shyuan, 38, dan Syarikat DGB Asia Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1337 bertarikh 21 September hingga 27 September 2020, yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat berkenaan.

Sementara di hadapan Nurshahira dia juga dituduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, memfitnah Kua dan syarikat DGB Asia, Trive Property Group Berhad, Metronic Global Berhad dan MNC Wireless Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1365 bertarikh 12 April hingga 18 April 2021 yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan keempat-empat syarikat berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di The Edge Communications Sdn Bhd, Level 3, Menara KLK, Mutiara Damansara, di sini pada 21 September 2020 dan 12 April 2021.

Kedua-dua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal yang mengendalikan pendakwaan di hadapan Zhafran dan Farhanah Fuad Mohamad Faiz yang mewakili pendakwaan di hadapan Nurshahira masing-masing menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Ahmad Azam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis serta mempunyai tanggungan tiga anak yang masih belajar.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan dia sendiri hadir ke mahkamah hari ini (Selasa)," katanya.

Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin sementara Nurshahira membenarkan ikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan kedua-dua mahkamah menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes. - Bernama