Kesihatan pelakon veteran Pak Lan kian merosot

Roslan (kiri) ketika menerima kunjungan Zulkiflee (dua dari kiri) di rumahnya di Kampung Rantau Panjang pada Khamis.
Roslan (kiri) ketika menerima kunjungan Zulkiflee (dua dari kiri) di rumahnya di Kampung Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

ALOR GAJAH - Pelakon Veteran, Roslan Saleh, 65, yang gigih menjual sambal lado dan daging dinding di sekitar Masjid Tanah di sini, kini diuji dengan keadaan kesihatannya yang kian merosot.

Roslan yang lebih dikenali sebagai Pak Lan berkata, kesakitan ini merupakan ujian ALLAH SWT buat dirinya dan sebagai hamba yang lemah dia reda dengan dugaan itu.

Menurutnya, dia mengakui kini pergerakannya lebih terbatas malah pendengaran juga semakin lemah selain terlantar sakit.

"Kalau dulu Pak Lan boleh menjual di pasar, kedai makan tapi sekarang tak dapat nak lakukan lagi.

"Alhamdulillah ini ujian ALLAH, ada hikmahnya dan kita perlu bersyukur," kata ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rantau Panjang pada Khamis.

Tambah Roslan, ada masanya kerinduan terhadap dunia lakonan menjelma namun dengan keadaan seperti itu, sukar untuk dia terima tawaran berlakon lagi.

Roslan (dua darikiri) dijaga anak bongsunya Ahmad Danial, 20, (kiri) dan isterinya Zainun (tiga kiri) d ikediaman mereka di Kampung Rantau Panjang.
Roslan (dua darikiri) dijaga anak bongsunya Ahmad Danial, 20, (kiri) dan isterinya Zainun (tiga kiri) d ikediaman mereka di Kampung Rantau Panjang.

Katanya, meskipun ramai yang tahu mengenai keadaan kesihatannya, namun masih ada rakan-rakan yang sudi menawarkan watak kepadanya termasuk daripada KRU Studio tetapi terpaksa ditolak.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga rakan artis yang datang melawat, mereka prihatin.

"Sesiapa yang nak melawat datanglah, Pak Lan mengalu-alukan, pintu rumah Pak Lan sentiasa terbuka," ujarnya lagi.

Sementara itu, isterinya, Zainun Majid, 53, turut memaklumkan masalah penglihatan Roslan juga merosot akibat glukoma sejak Mei lalu.

Menurutnya, kaki suaminya juga melecur dan membengkak sehinggakan tidak boleh berjalan selepas menerima rawatan alternatif yang dilakukan menggunakan mesin.

"Disebabkan susah nak berjalan jadi suami hanya duduk di katil dan terpaksa pakai lampin," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zain berkata, pihaknya akan memantau keperluan-keperluan lain pelakon itu termasuk lampin pakai buang dan kos perubatan.

"Difahamkan Pak Lan telah mendapat bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan saya akan melihat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh disalurkan bagi meringankan beban," kata beliau.

Roslan yang lebih 30 tahun bergelar pelakon telah banyak membintangi drama dan filem popular termasuk Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Pak Lan melalui akaun bank Islam isterinya 12225020113588.