'Kelantan selalu banjir, bagaimana nak buat PRU'

Mohd Amar menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pusat Komuniti Tumpat, Majlis Daerah Tumpat pada Khamis.
Mohd Amar menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pusat Komuniti Tumpat, Majlis Daerah Tumpat pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan bagaimana mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara sedang menghadapi musim tengkujuh.

Menurut beliau, Kelantan turut berdepan banjir setiap tahun dan kerajaan negeri sedang bersedia kemungkinan berlaku bencana itu tahun ini.

"Pengalaman kita di Kelantan memang sentiasa banjir. Bagaimana kita mahu melaksanakan pilihan raya dalam musim banjir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Komuniti Tumpat, Majlis Daerah Tumpat di sini pada Khamis.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas turut memaklumkan parti itu tetap berpendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Mei tahun depan.

Katanya, masalah ekonomi juga antara sebab Pas tidak mahu membubarkan DUN dan akan memberi perhatian kepada menangani kesusahan rakyat.

"Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan membantu rakyat, bukan kepada pilihan raya," katanya.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis turut memaklumkan perkara sama dipersetujui tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ketetapan itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang membuat keputusan sama pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, kes bunuh di Sungai Kelantan sedang dalam perhatian pihak berkuasa.

"Kita tidak meletakkan pengawal sepanjang hari tetapi perkara itu dalam perhatian polis yang sentiasa memantau keadaan di kawasan terbabit," katanya.