Negeri ditadbir Pas bubar DUN selepas Mac 2023

Tuan Ibrahim (kanan) menyampaikan anugerah ikon dakwah anak muda kepada Yaakub Yusra dari Kedah, sempena perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat di Alor Setar pada Khamis.
Tuan Ibrahim (kanan) menyampaikan anugerah ikon dakwah anak muda kepada Yaakub Yusra dari Kedah, sempena perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri yang ditadbir parti itu selepas Mac 2023.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana Pas berpendirian kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pemulihan semula ekonomi negara, selain isu kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, atas keperluan itu tiga negeri bawah kepimpinan Pas, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan DUN sekiranya kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen pada tahun ini.

"Kalau Parlimen dibubar sebelum Mac 2023, tiga negeri ini tidak akan bubarkan DUN masing-masing.

"Keputusan untuk negeri terbabit bubar DUN telah diputuskan selepas Mac tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-63 di sini pada Khamis.

Tuan Ibrahim berkata, pendirian Pas itu turut diikuti tiga negeri lain yang turut membuat keputusan sama, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun terpulang pada parti (kerajaan negeri) di negeri masing-masing. Saya hanya bercakap bagi pihak Pas.

"Secara keseluruhan jentera parti telah pun bersedia untuk pilihan raya jika diadakan tahun ini, namun ketetapan Pas sudah dibuat untuk bubar pada 2023," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persiapan jentera pilihan raya di setiap negeri setakat ini lancar dan dipantau oleh jawatankuasa bagi menghadapi pilihan raya.

"Saya dah turun ke beberapa negeri bersama rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN) dan kita telah pun bentuk jawatankuasa untuk berdepan PRU15, setakat ini persediaan lancar dan mengikut ketetapan," ujarnya.