Himpunan ICERD: Bukti kerajaan demokrasi

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Tiada sekatan, halangan dan tangkapan pada perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara semalam adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjunjung demokrasi dan kebebasan rakyat bersuara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun perhimpunan itu dikatakan satu 'setback' kepada kerajaan, namun ia juga menunjukkan hala tuju kerajaan mendaulatkan undang-undang dan satu langkah ke hadapan yang membolehkan rakyat menyuarakan pendapat.

Berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata tiada insiden tidak diingini berlaku pada perhimpunan tersebut seperti terjadi dalam beberapa perhimpunan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Dahulu penahanan, tindakan menghalang dilakukan untuk tidak membolehkan individu tertentu berucap dan ada yang ditangkap dan dimasukkan dalam penjara untuk satu ketika.

"Ini membuktikan Malaysia baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didokong rakyat, menjunjung prinsip demokrasi, hak bersuara kita tak sekat dan kita meneruskan urusan perhimpunan itu berdasarkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata dianggarkan 55,000 peserta hadir himpunan itu yang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, penganjur dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 November lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD.

Kerajaan juga akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di bawahnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara.- Bernama
Artikel Berkaitan: