Operasi sindiket bitcoin di premis tidak berpenghuni diserbu

Lima premis perlombongan bitcoin diserbu dalam Ops Renjat di Kajang pada Selasa.
Lima premis perlombongan bitcoin diserbu dalam Ops Renjat di Kajang pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Tenaga merampas mesin bitcoin bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di lima premis tidak berpenghuni sekitar Kajang, Selangor, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood berkata, Ops Renjat itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurutnya, sebanyak 349 unit mesin bitcoin telah dirampas selain cakera keras, wayar, kipas dan lain-lain peralatan yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

"Siasatan mendapati kegiatan itu mengakibatkan kerugian kepada pihak utiliti melebihi RM1.3 juta.

"Pengusikan dilakukan dengan cara membuat sambungan pintasan haram terus tanpa melalui meter," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Suruhanjaya Tenaga Putrajaya pada Khamis.

Abdul Razib (empat dari kiri) menunjukkan antara rampasan di premis bitcoin.
Abdul Razib (empat dari kiri) menunjukkan antara rampasan di premis bitcoin.

Beliau berkata, operasi bersepadu ini dijalankan berikutan aduan pengguna yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum intipan dijalankan pihaknya bersama TNB.

Katanya, modus operandi sindiket perlombongan bitcoin secara haram adalah dengan menyewa bangunan rumah kedai dan mereka kemudiannya akan menggunakan nama pemilik berkenaan untuk memohon bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Ketika serbuan dijalankan tiada seorang pun individu di dalam premis berkenaan dan siasatan akan dijalankan berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu melibatkan pemilik bangunan," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kita ingatkan pemilik kena berhati-hati apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak dan hendaklah prihatin dengan aktiviti yang dijalankan oleh penyewa," jelasnya.

Tegas Abdul Razib, tindakan turut boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) oleh agensi penguat kuasa lain.

“Kita juga minta kerjasama daripada orang ramai di luar sana untuk sama-sama membanteras kegiatan haram ini kerana ia boleh mengancam nyawa masyarakat,” katanya.

Tambahnya, orang ramai diminta untuk melapor dan membuat aduan kes kecurian elektrik kepada TNB melalui talian 15454 bagi Semenanjung Malaysia atau Suruhanjaya Tenaga melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke eaduan@st.gov.my.