Derita kaki 85kg, Sakila impi kembali berjalan seperti biasa

Sakila menunjukkan gambar ketika sebelum menghidap penyakit yang dideritai sejak tahun 2021 itu.
Sakila menunjukkan gambar ketika sebelum menghidap penyakit yang dideritai sejak tahun 2021 itu.
A
A
A

IPOH - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah perasaan yang dapat digambarkan terhadap Sakila Ahmad Shamsuri, 39, yang terpaksa menanggung derita penyakit lymphedema atau kaki gajah.

Menurutnya, kaki kiri yang membesar itu kini mempunyai berat dianggarkan sehingga 85kg sekaligus menyukarkan pergerakan harian.

Bercerita mengenai sakit yang dideritai itu, dia yang tinggal di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Jelapang Baru di sini memberitahu pada 2019 hanya bermula dengan demam panas dan kaki berbintik merah.

"Ketika itu saya cuma demam tapi tak sembuh. Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), saya dirujuk pula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Namun pada tahun lepas kaki saya semakin bengkak selepas diserang Covid-19 dan mengambil vaksin. Doktor sendiri tak sangka kaki membengkak secepat ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sakila berkata, pada 17 Oktober depan, dia akan menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membuang sebahagian isi di bahagian kaki tersebut.

Keadaan kaki kiri Sakila yang kini dianggarkan seberat 85kg.
Keadaan kaki kiri Sakila yang kini dianggarkan seberat 85kg.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas tidak lagi bekerja disebabkan penyakit itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memberikan bantuan bulanan malah sepanjang rawatan tidak perlu dibayar.

Bagaimanapun, dia yang merupakan ibu tunggal mengakui masih memerlukan sumber kewangan untuk perbelanjaan lain seperti logistik untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur menjalani rawatan dan keperluan ubat-ubatan lain.

Sementara itu, Sakila yang tidak lagi bekerja sangat mengimpikan untuk berjalan seperti biasa dan bernazar bagi menunaikan umrah jika sihat seperti sedia kala.

"Saya memang berhajat sangat nak tunaikan umrah jika saya dah boleh jalan seperti biasa. Itulah yang saya teringin sangat selain nak kembali bekerja seperti orang lain.

"Doa seluruh rakyat Malaysia juga saya perlukan supaya keadaan saya kembali normal dan pembedahan nanti berjalan dengan lancar," katanya.