Kubah Masjid UKM terjejas akibat ribut

Ribut yang berlaku menyebabkan kerosakan 10 peratus pada dua bahagian kubah masjid. Gambar kecil: Khairil Khuzairi
Ribut yang berlaku menyebabkan kerosakan 10 peratus pada dua bahagian kubah masjid. Gambar kecil: Khairil Khuzairi
A
A
A

BANGI - Kubah Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk beberapa kawasan di dalam institusi pengajian itu dilaporkan terjejas akibat ribut yang melanda petang semalam.

Ketua Pentadbiran Pusat Islam UKM, Khairil Khuzairi Omar berkata, dalam insiden kira-kira jam enam petang itu, berlaku hujan lebat disusuli angin kuat sehingga menyebabkan kerosakan 10 peratus pada kubah masjid yang dibina sejak 1982 itu.

Beliau berkata, menurut Unit Prasarana UKM, kerosakan yang berlaku melibatkan dua bahagian pada kubah tersebut, namun ia tidak menjejaskan bahagian dalam masjid terutamanya di ruang solat.

Ribut turut menyebabkan pokok tumbang di kawasan lain dalam UKM.
Ribut turut menyebabkan pokok tumbang di kawasan lain dalam UKM.

"Setakat ini, rutin solat serta program di masjid tiga tingkat itu masih diteruskan seperti biasa.

"Namun usaha untuk membaikpulih kubah yang terjejas akan mengambil masa kerana ia memerlukan kos kira-kira RM20,000," katanya yang turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang awam yang ingin membantu.

Menurutnya, kejadian ribut itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang di kawasan hadapan pintu masuk UKM berdekatan fakulti kejuruteraan, sekitar kolej kediaman serta dilaporkan turut menghempap satu daripada tiga wakaf yang dibina dalam kawasan masjid.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja pembersihan kubah dilakukan oleh kakitangan Pusat Islam bersama Unit Lanskap UKM.
Kerja-kerja pembersihan kubah dilakukan oleh kakitangan Pusat Islam bersama Unit Lanskap UKM.

Katanya, kejadian ribut seperti itu berlaku beberapa kali sebelum ini tetapi tidak pernah melibatkan kerosakan seteruk semalam.

"Saya percaya kejadian bukan saja disebabkan angin kuat tapi ada kaitan juga dengan faktor usia masjid yang sudah mencecah 37 tahun.

"Tapi syukur kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda yang teruk," katanya.

Khairil Khuzairi berkata, pihaknya dengan bantuan Unit Lanskap UKM juga sudah membersihkan kawasan yang terjejas dengan mengalihkan dahan-dahan pokok yang tumbang kira-kira jam 8.30 pagi tadi.