Dua peniaga bazar Ramadan didenda RM1,500

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DUNGUN - Tiga peniaga bazar Ramadan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas kesalahan melanggar Akta Makanan 1983 semasa menjual makanan ketika bulan puasa yang lalu.

Tertuduh pertama dan kedua iaitu peniaga roti john, kebab ayam serta penjual lauk pauk mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif dalam prosiding dijalankan berasingan.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah memerintahkan supaya setiap tertuduh didenda sebanyak RM1,500.

Bagaimanapun tertuduh ketiga yang menjual puding buih di bazar Ramadan sama tidak hadir dan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya sebelum kes disebut semula pada 19 Oktober nanti.

Mengikut pertuduhan, keputusan analisa terhadap roti john dan kebab dijual tertuduh pertama yang dibeli pegawai berkuasa bagi tujuan analisa mikrobiologi mendapati terdapat kehadiran mikroorganisma pathogenik iaitu salmonella spp.

Pegawai berkuasa turut membeli paru goreng dan hati lembu masak merah yang dijual tertuduh kedua dan analisa makmal yang diperoleh mendapati paru goreng tersebut mengandungi staphylococci dan salmonella.

Sampel hati lembu masak merah pula dikesan mengandungi staphylococci iaitu sejenis mikroorganisma pathogenic.

Kesalahan melanggar Peraturan 39(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah bazar Ramadan di daerah ini pada bulan puasa yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Ahmad Syukri Md Said, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.