PRU15 musim banjir: PH putuskan tak ikut langkah Persekutuan

Anwar (duduk, dua dari kanan) pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.
Anwar (duduk, dua dari kanan) pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan membuat keputusan untuk tidak menambah derita rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir.

Anwar berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat Majlis Presiden yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Andai kata Parlimen dibubarkan, keputusan ketiga-tiga negeri ini adalah menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.

“Pilihan raya tidak diadakan di negeri tesebut sehingga selesai isu banjir yang dijangka pada Februari atau Mac.

“(Tiga negeri ini) tidak akan bersama kerajaan Persekutuan seandainya pilihan raya diadakan semasa banjir,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa gabungan itu akan menggunakan logo PH pada PRU15.

Bagaimanapun katanya, PH dijangka akan menggunakan logo baharu selepas PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Keputusan yang saya ingat bijak dan rasional ialah untuk menggunakan logo sekarang. Selepas itu, kita dah setuju dan bincang (guna logo baharu) selepas pilihan raya,” ujarnya.

Menyentuh mengenai permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai PH, Anwar berkata, gabungan itu telah mengadakan beberapa mesyuarat mengenai perkara berkenaan.

“Laporan telah dihantar dan kita amat gembira dengan perkembangan perbincangan serta masih meneruskannya,” katanya.