Tiga negeri PH mungkin ada pilihan raya berasingan

Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sijil pengesahan halal Malaysia kepada ushawan.
Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sijil pengesahan halal Malaysia kepada ushawan.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) kemungkinan akan mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan jika Parlimen dibubarkan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada Majlis Presiden PH.

"Kalau diminta bubarkan DUN, kita akan bubarkan. Sekarang ini kita nak dapatkan isu di setiap negeri sama ada perlu diteruskan (bubar DUN) atau tidak kerana kita masih ada masa lapan bulan lagi.

"Saya sentiasa berhubung dengan rakan-rakan dari Selangor dan Pulau Pinang yang mana nanti kita akan putuskan bersama selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Presiden PH," katanya pada sidang akhbar di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini pada Selasa.

Beliau yang merupakan Naib Presiden PKR berkata, banyak perkara perlu dibuat pertimbangan terutama soal rakyat kerana musim tengkujuh diramal berlaku.

Tambah beliau, masih ada tempoh lapan bulan lagi sehingga habis penggal.

"Ada cakap kita takut hilang jawatan, tapi semestinya kita lebih mengutamakan soal rakyat dan di kawasan Kuala Pilah malam tadi (Isnin) berlaku banjir dan bagi saya itu amaran kerana sekarang selalu hujan.

"Ia jelas menunjukkan hujung tahun ini bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan soal calon PKR pula, beliau berkata, jawatankuasa penilai calon akan bersidang minggu hadapan untuk membincangkan kesemua senarai nama yang telah dihantar oleh setiap negeri.

"Setiap negeri hanya mengumpulkan nama dan hantar kepada jawatankuasa penilai untuk membuat penilaian sebelum dibawa ke presiden parti yang kemudian akan dibawa ke Majlis Presiden untuk diumumkan bersama," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada beliau akan bertanding Parlimen pada PRU15, Aminuddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, ia kuasa presiden untuk menentukannya.

Aminuddin sebelum itu hadir pada majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal Negeri Sembilan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Dr Abdul Azis Sheikh Ab Kadir dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidi Ramli.