Najib tak pernah keluarkan tunai walau ada berbilion dalam akaun

Najib, Uma Devi
Najib, Uma Devi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membuat pengeluaran tunai daripada dua akaun peribadi AmIslamic miliknya meskipun memiliki wang berbilion ringgit.

R Uma Devi berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu bersetuju bahawa, tiada penyata pengeluaran tunai dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu meskipun beliau menerima kemasukan wang dalam jumlah yang banyak.

Muhammad Shafee: Jadi seseorang mahu berbelanja untuk diri sendiri, mempunyai wang tunai lebih mudah, orang kita biasa buat begitu kan.

Uma Devi: Ia bergantung kepada individu itu.

Muhammad Shafee: Namun, bukankah tiada pengeluaran dari penyata pengeluaran tunai (akaun Najib)?

Uma Devi: Betul.

Peguam utama Najib itu merujuk kepada dua akaun peribadi AmBank, yang berakhir dengan nombor 694 dan 880.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding pada 12 September lalu, saksi itu berkata, Najib telah mengeluarkan 46 cek berjumlah RM10.3 juta kepada syarikat, individu, bekas menteri, UMNO dan yayasan kebajikan bermula Mac hingga Disember tahun 2011 dari akaun semasa dengan nombor terakhir 694, miliknya.

Beliau berkata, nilai tertinggi dicatatkan adalah sebanyak RM750,000 manakala terendah RM5,000.

Menurutnya, antara penerima tersebut ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi (RM100,000) dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan (RM200,000).

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.