'Malaysia patut malu kerana malu-malu angkat kemegahan bangsa'

Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia sepatutnya berasa malu kerana ‘malu-malu’ untuk mengangkat kemegahan bangsa walaupun di negara sendiri, kata Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya.

Sedangkan beliau berkata, budaya-budaya bangsa Asia lain seperti Jepun dan China semakin popular dan kuat bertapak di Malaysia.

Malah katanya, sehingga ke satu tahap, negara-negara berkenaan dilihat lebih serius berbanding kerajaan Malaysia mempromosikan budaya Melayu sebagai identiti teras watan.

“Kita malu dan takut nak martabat bahasa kebangsaan dalam negara dalam pelbagai aspek. Lihatlah bagaimana Perlembagaan Persekutuan. Versi bahasa Inggeris adalah lebih absah berbanding bahasa kebangsaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media mengenai langkah kerajaan Korea Selatan membuka pusat kebudayaan negara itu di Malaysia tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mempertikaikan budaya luar dan sebenarnya mengalu-alukan jika rakyat di negara ini mahir dengan pelbagai kebudayaan.

"Kita memang tiada masalah dengan budaya luar, malah baguslah jika rakyat kita mahir berkaitan pelbagai kebudayaan. Tetapi apakah layak pada masa yang sama kebudayaan sendiri terus dipinggirkan?

“Lihatlah bagaimana Perdana Menteri dan menteri-menteri diperlekeh menggunakan bahasa Melayu di pentas dunia oleh orang kita sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Lihatlah bagaimana Dong Zong dan parti-parti politik Cina fobia dengan tulisan jawi, padahal ia termaktub secara spesifik dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Malah beliau sudah berulang kali mengusulkan supaya pihak kerajaan memperuntukkan sebuah pusat atau bangunan untuk kebudayaan Melayu dan mempromosikannya secara serius sebagai lambang keizzahan negara.

“Apabila pelancong datang ke Kuala Lumpur, itulah tempat yang wajib dilawati.

"Cubalah lihat dalam bahan-bahan promosi pelancongan Malaysia. Ada apa? Cuba bandingkan dengan negara-negara lain pula. Yang biasa mengembara ke luar negara pasti akan faham apa yang saya perkatakan ini,” tambahnya.