Dua pasukan Pro Benua cabar saingan LTdL

Mareczko (depan) jadi sandaran Alpecin untuk menggegar LTdL minggu depan. - Foto Agensi
Mareczko (depan) jadi sandaran Alpecin untuk menggegar LTdL minggu depan. - Foto Agensi
A
A
A

WALAUPUN hanya berstatus Pro Benua, Alpecin-Deceuninck dan UNO X Pro Cycling dikatakan berkemampuan untuk memberi saingan kepada pelumba dari pasukan World Team menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 minggu depan.

Berdasarkan kedudukan ranking dan kualiti pelumba Alpecin, pasukan yang berpangkalan di Perancis itu dilihat mampu menghadirkan gerun kepada pelumba pilihan untuk perlumbaan edisi ke-26 kali ini.

Alpecin ketika ini berada di kedudukan 11 terbaik dunia selepas mengumpul 7,528 mata dan bakal memburu kemenangan dalam lapan peringkat yang ditawarkan di LTdL 2022.

Menurut Pengarah Sukan mereka, Michele Cornelisse, tanggungjawab sudah pasti bakal diberikan kepada pakar pecut, Jakub Mareczko yang tidak asing lagi dalam saingan LTdL kerana pernah menyertai pada edisi 2015 hingga 2017.

“Dia akan mengetuai lima pelumba lain dan dijangka berada di kelompok depan terutama ketika di laluan landai serta penamat pecutan,” kata Cornelisse.

Pelumba kelahiran Poland yang memegang kerakyatan Itali itu sudah membuktikan kemampuannya apabila memenangi peringkat keenam LTdL 2016, sebelum meraih dua lagi kejayaan sama di peringkat ketiga dan ketujuh di LTdL 2017.

Ketika itu dia yang berusia 28 tahun mewakili pasukan Wilier Southeast dan Wilier Triestina - Selle Italia.

Dalam pada itu, pasukan dari Norway, UNO X Pro Cycling bakal beraksi buat pertama kali di LTdL dan turut membawa bersama pelumba yang sudah mencipta nama dalam saingan basikal bukit dan Cycle-cross.

Artikel Berkaitan:

Mereka bakal mempertaruhkan pelumba yang pernah beraksi bersama pasukan WorldTeam, Kristoffer Halvorsen, 26, iaitu pakar pecut dan bekas juara Kejohanan Dunia Bawah 23 tahun 2016.

Halvorsen yang bakal merebut gelaran Raja Pecut sebelum ini pernah mengutip pengalaman luas bersama tiga pasukan WorldTeam bermula dengan Team Sky, Ineos dan akhir sekali EF Pro Cycling.

Seorang lagi pelumba mereka yang perlu diberi perhatian ialah Soren Werenskjold, 22, pelumba muda mempunyai prospek untuk menyinar pada masa akan datang apabila menggegarkan saingan Kejohanan Dunia Bawah 23 tahun 2017 dengan muncul juara saingan ujian masa dan ketiga dalam lebuh raya.

Bagi zon pendakian mereka bakal mempertaruhkan Niklas Eg yang pernah beraksi di tiga saingan Grand Tour, Giro d'Italia, Tour de France dan Vuelta Espana.