Pengumuman Dasar Automotif Nasional baharu suku kedua

Gambar hiasan
A
A

KERAJAAN dijangka mengumumkan Dasar Automotif Nasional (NAP) yang disemak semula pada suku kedua 2019, ia memperkenalkan beberapa langkah meningkatkan daya saing industri melalui trend teknologi masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata NAP baharu itu akan merangkumi Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), Mobiliti sebagai Perkhidmatan dan Industri 4.0 serta juga, kecerdasan buatan.

"Kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada arah mobiliti yang baharu serta trend dalam corak pemanduan, dan ia juga boleh disesuaikan mengikut penambahbaikan dalam pengangkutan awam termasuk menerokai pembangunan vendor dalam ekosistem berkaitan," katanya kepada pemberita semasa Bengkel Pembangunan Bandar dan E - Mobiliti anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di sini hari ini.

Program berkenaan juga turut ditaja oleh Kementerian Persekutuan Jerman untuk Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Sekitar dan Keselamatan Nuklear, dengan kerjasama Dewan Perdagangan Malaysia-Jerman.

Turut hadir ialah Duta Jerman ke Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff.

Menurut Ong lagi, terdapat kira-kira 30 juta kenderaan berdaftar di Malaysia dan jumlah ini dijangka berganda menjelang 2030.

Malaysia mahu mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan dengan meningkatkan tahap kecekapan ekonomi bahan api di Malaysia menjelang 2025, selaras dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi Bahan Api ASEAN sebanyak 5.3 liter setiap 100 kilometer.

Pengurangan dalam pelepasan karbon adalah sejajar dengan pembangunan ekosistem e-mobiliti di Malaysia dan beliau menambah, kerjasama antarabangsa adalah amat penting untuk merealisasikan sasaran tersebut dan Jerman adalah rakan kongsi yang sesuai bagi inisiatif e-mobiliti Malaysia.

"Syarikat Jerman boleh menyumbang melalui pengetahuan teknikal dan profesional untuk menerajui piawaian terbaik bagi konsep kelestarian dan bandar di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata Malaysia berhasrat untuk membangunkan sebuah ekosistem mobiliti dengan infrastruktur mobiliti yang menyeluruh, terancang serta pintar, disokong dengan pembangunan bakat dan kapasiti perniagaan yang berupaya menampung matlamat itu.

"Jerman memiliki sejarah inovasi teknologi lestari yang unggul dan ini adalah satu contoh terbaik untuk Malaysia ikuti, terutamanya mobiliti dalam pembangunan perniagaan dan pembangunan bakat melalui perkongsian awam-swasta antara peneraju industri, anggota akademik dan kerajaan" katanya. - Bernama