[VIDEO] 'Syarikat dapat tender bekal sistem meriam ada kabel kuat'

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa syarikat baharu yang mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat Malaysia (TDM) mempunyai ‘kabel kuat’.

Dalam pendedahan terbaru yang disiarkan di laman sosialnya, Rafizi juga memaklumkan bahawa syarikat berkenaan memiliki pengarah-pengarah muda.

“Apalah istimewa sangat dengan syarikat ini? Kut-kut syarikat pakar yang membuat meriam artileri, kalau lah meriamnya digunakan dalam perang di Ukraine?

“Rupa-rupanya syarikat ini ditubuhkan tidak sampai dua tahun pun. Pengarah-pengarahnya pula muda lagi. Apabila disemak, syarikat ini ada kabel besar," katanya.

Rafizi mendakwa syarikat berkenaan juga sudah menulis surat kepada 'kabelnya' meminta keputusan penganugerahan tender .

“Kabel ini pun ‘tenyeh’ arahan pada suratnya, ‘Saya sokong permohonan, sila ambil tindakan’,” katanya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebooknya.

Pada Selasa, Rafizi mendedahkan, syarikat baharu yang ditubuhkan kurang dua tahun itu mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis SPH TDM bernilai RM854 juta.

SPH adalah meriam artileri yang digunakan oleh Angkatan Tentera Darat dan diukur antaranya dari segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi atau pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

Rafizi mendakwa, hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilakukan beliau sendiri mendapati syarikat itu hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan.

Katanya, syarikat itu juga tidak mempunyai rekod dalam industri pertahanan namun memperoleh kontrak pembekalan persenjataan yang sebegitu besar.

Justeru, Rafizi berikrar akan mendedahkan pelbagai kepincangan lain dalam pembelian meriam artileri SPH itu setiap hari sepanjang minggu ini dan minggu depan.