Apa maknanya bajet tanpa kelulusan

No Image Caption
A
A
A

BERBAKI dua hari sahaja lagi, Bajet 2023 bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

Berbanding beberapa tahun lalu, ia adalah bajet yang amat ditunggu-tunggu ramai rakyat Malaysia.

Ini kerana ia adalah bajet bagi Malaysia mengharungi beberapa perkara besar di hadapan.

Ia adalah bajet bagi rakyat menempuh ranjau cabaran ekonomi yang suram dan lebih sukar tahun depan.

Memetik kata-kata Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi beberapa hari lalu, keadaan ekonomi dunia akan semakin gelap dan sulit pada tahun 2023.

Petunjuk-petunjuk kepada situasi itu telah ada dengan kenaikan harga barang, peningkatan inflasi dan kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Lantaran itulah, Bajet 2023 penting untuk Malaysia mengurangkan impak kesan pasca Covid-19 dan perang Ukraine-Rusia.

Pun begitu, dalam merencanakan belanjawan terbaik melawan kemelut ekonomi, sudah tentunya jugalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menawarkan bajet yang mesra rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana dengan isyarat Pilihan Raya Umum ke-15 makin dekat, apatah lagi desas-desus tentang kemungkinan PM akan mencadangkan pembubaran Parlimen minggu hadapan.

Lantas tidak hairanlah ada yang menggelarnya belanjawan kali ini sebagai bajet gula-gula atau bajet populis.

Tetapi baik Ismail Sabri atau Tengku Zafrul, mereka sudah tentunya mahu membentangkan bajet yang boleh memberi kelebihan kepada BN.

Walaupun beberapa pihak menyatakan pembubaran Parlimen selepas bajet bukanlah kali pertama berlaku, tetapi ini kali pertama ia akan terjadi dalam keadaan kabinet terdiri daripada kerajaan campuran beberapa parti.

Lebih mencabar Ismail Sabri perlu membuat keputusan sama ada untuk mengikut permintaan ketua partinya atau mendengar cadangan pemimpin daripada parti campuran.

Pada akhirnya, ramai yang menanti dalam debar untuk beberapa hari ini kerana Ismail Sabri akan menjadi orang paling sibuk.

Tetapi, ada juga yang bertanya, benarkah ada bajet kali ini? Kerana apalah pembentangan bajet jika ia tidak dapat diluluskan.