Piala Malaysia 2022 mansuh aksi peringkat kumpulan

IMBAS KEMBALI... KL City memenangi Piala Malaysia 2021 ke-100 tahun apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 November lalu.
IMBAS KEMBALI... KL City memenangi Piala Malaysia 2021 ke-100 tahun apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 November lalu.
A
A
A

SAINGAN Piala Malaysia 2022 bakal menyaksikan kelainan apabila tiada lagi aksi peringkat kumpulan seperti kelaziman pada edisi sebelum ini.

Sebaliknya menurut pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) format kejuaraan itu bakal menyaksikan semua kelab akan diundi memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.

“Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL ini selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberi MFL sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.

“Malah ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta dan memastikan pencegahan kecederaan pemain.

“Pada 29 September, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia yang memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada Oktober sehingga Disember,” kata pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) tersebut pada Selasa.

Tambah MFL lagi, kerajaan Malaysia juga telah mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang mendatang.

Jelasnya, jadual Liga-M 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 di dalam beberapa pasukan dan juga kejohanan-kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan.

“Sehubungan itu, format Piala Malaysia 2022 akan dimainkan bermula daripada pusingan 16 pasukan secara timbal balik sekali gus tiada perlawanan peringkat kumpulan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana sekiranya perlawanan tidak dapat dimainkan, ditunda, dihentikan akibat perkara-perkara tidak dapat dielakkan terutamanya faktor cuaca, dengan tempoh masa yang ada, ia membolehkan perlawanan yang tidak dapat dimainkan, ditunda, dihentikan terus dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai oleh MFL.

“Ia juga turut mengambil kira faktor kebanyakan kontrak para pemain bakal berakhir pada penghujung November sekiranya masih berlaku penundaan perlawanan Piala Malaysia,” katanya.

Pada masa sama format baharu Piala Malaysia 2022 akan menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik secara timbal balik diikuti aksi suku akhir (timbal balik) dan perlawanan separuh akhir (timbal balik) di mana aksi final Piala Malaysia bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November.