Lelaki warga emas maut dilanggar lori sendiri

Lori yang dipercayai melanggar mangsa di Jalan PJU 8/12c, Damansara Perdana, di sini pada Isnin.
Lori yang dipercayai melanggar mangsa di Jalan PJU 8/12c, Damansara Perdana, di sini pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas maut apabila dilanggar lorinya yang bergerak sendiri dalam kejadian di Jalan PJU 8/12c, Damansara Perdana, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira jam 1.03 petang.

"Kejadian melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 65 tahun. Ketika kejadian mangsa dipercayai telah meletakkan lori yang dipandu di tepi jalan yang berbukit dan keluar dari kenderaan tersebut.

"Lori tersebut secara tiba-tiba telah bergerak ke hadapan menuruni bukit, mangsa cuba untuk masuk semula ke dalam kenderaan itu, namun gagal, sebelum dilanggar oleh lori berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, mangsa mengalami cedera parah telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, namun telah disahkan meninggal dunia semasa dalam rawatan.

"Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: