PDRM siap sedia hadapi PRU bila-bila masa

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, persediaan tersebut termasuk dari sudut sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran PRU15.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita sentiasa membuat persiapan rapi dan sentiasa bersiap sedia jika PRU diadakan dalam masa terdekat.

"Dengan persiapan yang telah kita lakukan, kita berdoa mudah-mudahan PRU-15 dapat dijalankan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pengkalan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, di sini hari pada Isnin.

Spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengadakan perbincangan dengan Acryl Sani serta Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama hampir lima jam mulai jam 11 pagi, Ahad.

Sementara itu dalam ucapannya dalam majlis tersebut, Acryl Sani berkata, sebanyak 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan sebagainya melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM292,621,167 dikesan pihak berkuasa berkenaan dari Januari hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding 4,463 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM247,178,076 sepanjang tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan jumlah kes serta nilai rampasan bagi tempoh kajian ini membuktikan tindakan proaktif Pasukan Polis Marin membuahkan hasil," katanya.

Artikel Berkaitan: