Pekebun mengaku bersalah hina Agong di Facebook

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekebun yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, di laman sosial Facebook, hari ini menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sharil Mohd Sarif, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy pada sebutan semula kes.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 April untuk menjatuhkan hukuman ke atas OKS.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Sharil Chain”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 11.30 pagi, 13 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal memohon hukuman pemenjaraan berat dan denda mengambil kira kesalahan serius OKS kerana mencabuli Perlembagaan Persekutuan dengan mengeluarkan kenyataan menghina dan cacian terhadap individu yang mempunyai darjat yang tinggi.

“Kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius kerana menggunakan ayat-ayat cacian dan kejian melampau terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kenyataan yang menghina Yang di-Pertuan Agong bukan berbaur politik tetapi ia bersifat menyerang karektor peribadi ini kerana Yang di-Pertuan Agong bukan rakyat biasa tetapi ketua negara di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Peguam M. Dinesh yang mewakili OKS itu memohon hukuman pemenjaraan minimum dengan alasan anak guamnya tidak mampu untuk membayar denda kerana berpendapatan RM1,000 sebulan.

“Sememangnya diketahui bahawa kenyataan itu tidak patut digunakan oleh rakyat Malaysia, namun tindakannya yang mengaku bersalah menunjukkan dia telah memahami akibat perbuatannya.

“Mohon tempoh penjara minimum agar hukuman itu tidak memudaratkan dia dan keluarganya," katanya sambil menambah anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan mempunyai seorang isteri serta empat anak berusia antara 12 hingga lima tahun.

Sementara itu, dalam prosiding sama mahkamah menetapkan tarikh serupa ( 26 April) bagi sebutan semula kes seorang pekerja khidmat pelanggan wanita T.R Thurkai Devi, 32, selaku OKS atas tuduhan sama.

Thurkai Devi yang tidak diwakili peguam, didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook “Thurkai Devi Tangga Raja”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca di laman profil Facebook “Belenggu Fatamorgana” di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dang Wangi, di sini pada 11.17 pagi, 4 Jun 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Terdahulu, Muhamad Asyraf memaklumkan mahkamah bahawa hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. - Bernama