Sedia terima lebih 5,000 peserta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sudah bersedia untuk menerima lebih 5,000 peserta yang bakal hadir dalam Majlis Konvensyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 pada Sabtu ini.

Penolong Pengarah Kanan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, berkata, Rashidi Salleh berkata, dengan kapasiti penuh berjumlah 20,000 orang, venue tersebut tidak mempunyai masalah untuk memastikan keselesaan semua peserta sepanjang program berkenaan.

“Jadi buat masa ini persiapan yang telah kita sediakan membabitkan contohnya kawasan utama program iaitu di ruang solat utama.

“Kemudian dari segi persiapan logistik seperti tempat jamuan dan tempat rehat tetamu kehormat juga telah kita sediakan. Cumanya kita sekarang ini sedang menunggu hari terakhir untuk lengkapkan persiapan utama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Rashidi
Rashidi

Majlis Konvensyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 merupakan acara kemuncak bagi program rancangan harian, My #QuranTime yang sudah bakal mencapai jumlah siaran sebanyak 838 episod sejak mula disiarkan pada 8 Jun 2020.

Majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menjadikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai lokasi perdana itu akan bermula pada jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Sementara itu, Rashidi yang juga penyelaras persiapan dan teknikal majlis tersebut berkata, peserta dinasihatkan agar datang lebih awal pada hari acara untuk memastikan kelancaran perjalanan mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak masjid juga menyediakan kawasan tempat meletak kenderaan yang agak luas sama ada di kawasan masjid termasuk di luar venue terbabit.

“Kemudian dengan mengambil kira jumlah peserta yang agak ramai ini, kita juga ingin nasihatkan peserta untuk berhati-hati dan menjaga segala barangan keperluan atau peralatan beg yang dibawa. Kita khuatir jika ada berlaku kehilangan atau keciciran.

“Selain itu, kita juga harap agar peserta menitikberatkan soal kebersihan sepanjang program diadakan atau semasa jamuan.

“Pada masa sama, peserta juga diharapkan dapat menjaga aspek yang paling utama iaitu menjaga adab dan disiplin berada di masjid,” ujar beliau.

Dalam pada tu, Rashidi berkata, penganjuran acara tersebut agak istimewa kerana ia berbeza dengan acara khatam biasa apabila turut memberikan penekanan terhadap aspek tadabbur.

“Di samping kita membaca dan mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran, dalam masa sama untuk sesi kali ini kita ada sesi tadabbur, maksudnya setiap dibacakan ditadabburkan dengan peserta diberikan pendedahan dengan lebih terperinci,” jelas beliau.

“Jadi kita harap peserta akan nilai tambah yang ditawarkan pada majlis ini menerusi sesi tadabbur yang diadakan itu.

“Pada masa sama kita berharap agar peserta dan masyarakat yang menyertai My #QuranTime khususnya yang ikut serta dalam acara kemuncak pada Sabtu ini dapat mengamalkan segala ilmu diperoleh daripada al-Quran dalam kehidupan mereka,” katanya.