Gesa dedah status terkini tuntutan Kesultanan Waris Sulu

Lip Eng dan tangkap layar surat surat penolakan pertanyaan jawab lisan diterima oleh Lip Eng.
Lip Eng dan tangkap layar surat surat penolakan pertanyaan jawab lisan diterima oleh Lip Eng.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menempelak sikap kerajaan yang tidak mahu memaklumkan status terkini berkenaan tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia, termasuk membabitkan isu kos guaman.

Ia selepas beliau dimaklumkan bahawa pertanyaannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan isu tersebut di Dewan Rakyat telah ditolak atas faktor kerahsiaan.

“Guna wang rakyat tapi tak nak bagi maklumat kepada kami, kata rahsia! #kerajaangagal,” tulisnya di Twitter pada Isnin sambil turut berkongsikan tangkap layar surat penolakan pertanyaan jawab lisan bertarikh 30 September yang diterima daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Dalam pertanyaan jawab lisan tersebut, Lip Eng juga mempersoalkan mengenai sama ada terdapat wujudnya tuntutan daripada kumpulan lain terhadap Malaysia.

Selain faktor kerahsiaan, surat tersebut turut memaklumkan bahawa pertanyaan tersebut ditolak atas sebab ia tidak boleh menyebutkan perjalanan Jawatankuasa yang belum dimaklumkan kepada majlis.

Sebelum ini, kumpulan dipercayai waris Kesultanan Sulu menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Susulan daripada itu, laporan Financial Times berpangkalan di London pada Julai lalu memaklumkan, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Ia juga adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, laporan The Edge pada 30 September lalu mendedahkan aset milik syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) masih lagi dalam keadaan terancam apabila peguam yang bertindak bagi pihak waris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II dilaporkan dalam proses mengemukakan permohonan kepada mahkamah Belanda untuk sitaan.

Bagaimanapun, The Edge melaporkan, Petronas dan kerajaan Malaysia sudah sedia maklum mengenai rancangan rampasan aset tersebut.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan telah memulakan strategi global proaktif untuk menghalang dan mengetepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Waris Kesultanan menerima bayaran RM5,300 setahun berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Ahlam Kiram dengan dua pedagang Eropah, Alfred Dent dan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Perjanjian itu adalah bagi pajakan ke atas wilayah Borneo Utara yang hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah meliputi kawasan dari Sungai Pandasan di utara sampai ke Sungai Sibuku di selatan.

Malaysia meneruskan bayaran berkenaan apabila Sabah membentuk Malaysia pada 1963 bersama Singapura, Sarawak dan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, Putrajaya menghentikan bayaran berkenaan selepas pengikut 200 anggota militan yang merupakan Jamalul Kiram III menceroboh Sabah.