Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 dilancar

A
A
A

Noraini (dua dari kiri) yang diiringi Mohd Zabri (kiri), Apli (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran BMS 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Noraini (dua dari kiri) yang diiringi Mohd Zabri (kiri), Apli (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran BMS 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Galak budaya menabung sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited menyebar luas keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN dengan melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 pada Sabtu. BMS 2022 yang bermula pada Jumaat hingga 31 Oktober depan.

Penganjuran BMS 2022 itu sebagai platform menggalakkan budaya penabungan dalam kalangan Keluarga Malaysia sejak awal usia serta bersempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, seiring dengan BMS 2022, PTPTN akan turun padang untuk berjumpa dengan orang ramai.

"Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi literasi kewangan dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, ini juga merupakan salah satu daripada kaedah yang dibuat supaya rakyat berasa lebih dekat dengan PTPTN.

"Kali ini, tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda' kekal menjadi pilihan, dan konsep 'Blok' yang dipilih amat signifikan dengan usaha berterusan, perancangan dan ketelitian untuk membina masa hadapan," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran BMS 2022 di Sunway Velocity Mall, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Artikel Berkaitan:

Capai sasaran

 Nurul Huda (dua dari kiri) menerima replika hadiah tunai RM2,525 selepas diumumkan pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bagi Kategori Cabutan Siri Silver 1.
Nurul Huda (dua dari kiri) menerima replika hadiah tunai RM2,525 selepas diumumkan pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bagi Kategori Cabutan Siri Silver 1.



Noraini memberitahu, sempena pelancaran itu, program BMS diadakan serentak di semua 14 buah negeri seluruh negara dan lebih menarik ia bukan sahaja diadakan secara bersemuka tetapi turut diadakan dalam talian dengan matlamat seluruh Keluarga Malaysia dapat menyertainya.

"Dengan penganjuran besar-besaran seperti ini, saya yakin PTPTN akan dapat mencapai sasaran jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM150 juta sempena BMS 2022," katanya.

Mengulas lanjut, Noraini menegaskan, pelbagai keistimewaan ditawarkan untuk manfaat Keluarga Malaysia menerusi Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

"Antaranya termasuklah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, geran sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

"Malah, kedua-dua produk ini turut mempunyai manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit sebagai nilai tambah sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini," jelas beliau.

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang direkodkan adalah sebanyak RM12.81 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.5 juta.

Noraini menambah, selain itu, PTPTN turut menganjurkan pelbagai kempen antaranya Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang berlangsung sehingga 31 Disember depan yang mana keseluruhan kempen itu menawarkan hadiah berjumlah hampir RM1 juta.

Yung Chok (dua dari kiri) turut memenangi Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bagi Kategori Cabutan Siri Silver 1.
Yung Chok (dua dari kiri) turut memenangi Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bagi Kategori Cabutan Siri Silver 1.

BMS 2022 turut membawa kelainan dari tahun sebelumnya apabila buat julung kalinya PTPTN menganjurkan Cabutan BMS 2022 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 untuk 25 pemenang di peringkat nasional dan juga hadiah pelbagai barangan menarik untuk 84 pemenang di peringkat negeri.

Turut dipertandingkan Tiktok Challenge #BMS 2022, Happy Hour BMS, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN (negeri), Pertandingan Reka Tabung Kreatif Simpan SSPN (negeri) dan Pertandingan E-Sport BMS 2022 (Mobile Legend Bang Bang) (nasional).

Demi pendidikan

Sementara itu, pengunjung, Faizah Mohd Zukri, 38, dari Ampang berkata, pelbagai aktiviti yang diadakan sempena pelancaran BMS seperti pertandingan mewarna, pertandingan puzzle dan pertandingan action song mencungkil bakat tiga anaknya yang berusia 11, sembilan dan enam tahun.

"Penganjuran BMS ini menggalakkan orang ramai melakukan penabungan anak-anak di awal usia demi pendidikan mereka.

"Saya sendiri sudah lama menabung untuk anak-anak menerusi Simpan SSPN kerana dengan adanya Simpan SSPN, ibu bapa akan lebih berdisplin menyimpan," katanya.

Dalam pada itu, sempena program itu, turut diumumkan dua pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN bagi Kategori Cabutan Siri Silver 1 yang menjadi milik ejen insurans, Lee Yung Chok, 34, serta akauntan, Nurul Huda Wahab, 39, yang masing-masing merangkul hadiah tunai RM2,525.

Yung Chok dari Kuala Lumpur memberitahu, dia mula menyimpan menerusi Simpan SSPN sejak empat tahun lalu selepas anak sulungnya dilahirkan.

"Untung menabung dalam Simpan SSPN sebab saya dapat pelepasan taksiran cukai setiap tahun," kata bapa kepada dua cahaya mata tersebut.

SK Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur muncul juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2022.
SK Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur muncul juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2022.

Nurul Huda dari Gombak pula menjelaskan, dia mula membuka akaun Simpan SSPN untuk anak-anaknya sejak 2011 selepas diberi penerangan tentang kelebihan pembukaan akaun itu oleh pegawai PTPTN.

"Macam tak percaya saya menang hadiah tunai RM2,525 ini sebab niat awal saya buka akaun ini untuk simpanan pendidikan tiga anak saya supaya senang bila mereka nak masuk universiti nanti," ujarnya.

Pada program itu juga, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur muncul juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2022 dan berjaya membawa pulang hadiah tunai RM3,750.

Guru sekolahnya, Jamilah Aziz berkata, walaupun hanya melakukan persiapan dalam masa singkat iaitu lima hari, murid-muridnya berjaya membuktikan kebolehan dan bakat yang dimiliki.

"Paling penting penyertaan dalam BMS ini juga dedahkan murid dengan ilmu literasi kewangan iaitu mereka tahu kepentingan menabung untuk masa depan yang cerah," katanya.

Untuk info lanjut tentang BMS 2022, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ptptn.gov.my/BMS2022.