Tujuh maut selepas taun landa semula Haiti

Gambar fail menunjukkan seorang budak lelaki dirawat selepas dijangkiti taun di Anse D'Hainault, Haiti. - Foto AP
Gambar fail menunjukkan seorang budak lelaki dirawat selepas dijangkiti taun di Anse D'Hainault, Haiti. - Foto AP
A
A
A
PORT-AU-PRINCE - Sekurang-kurangnya tujuh orang di Haiti maut akibat taun, kata pihak berkuasa negara itu pada Ahad.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu bahawa wabak taun telah muncul semula di negara Caribbean itu.

Sebelum ini, penyakit taun disahkan tidak lagi melanda negara itu selama hampir tiga tahun lalu.

Namun, Kementerian Kesihatan negara itu pada Ahad berkata, beberapa kes telah dikesan di ibu negara Port-Au-Prince serta kejiranan pantai Cite Soleil.

Pada sidang akhbar petang Ahad, Laure Adrien iaitu Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Awam Haiti berkata bahawa tujuh atau lapan orang telah meninggal dunia.

“Kebanyakan mangsa meninggal dunia dalam komuniti dan tidak dapat pergi ke hospital,” katanya.

Adrien menggesa sekatan jalan raya yang didirikan di seluruh negara sebagai protes terhadap kenaikan harga minyak baru-baru ini ditarik balik supaya mereka yang dijangkiti boleh mengakses kemudahan kesihatan atau dibawa ke hospital dengan ambulans.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Ariel Henry mengumumkan kenaikan harga bahan api dengan menyatakan bahawa subsidi terlalu banyak diberikan di negara itu.

Haiti ialah salah sebuah negara termiskin di dunia.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan berkata dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa langkah-langkah sedang diambil untuk mengehadkan penyebaran virus itu sambil menyeru supaya langkah berjaga-jaga tentang tahap tinggi dilaksanakan.

Taun sebelum ini muncul di negara tersebut selepas ia dibawa oleh pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah kejadian gempa bumi kuat berlaku di negara tersebut pada tahun 2010 sehingga menyebabkan kira-kira 10,000 orang tetrbunuh.

Ketika itu, jangkitan virus taun pertama dikesan di sekitar Sungai Artibonite iaitu tempat pasukan pengaman PBB membuang najis sebelum ia merebak ke seluruh negara. - AFP