Libatkan pembangkang dalam jawatankuasa bencana

Mahfuz (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan taburan hujan dan ramalan cuaca yang disebabkan oleh peralihan monsun.
Mahfuz (dua dari kanan) mendengar taklimat berkaitan taburan hujan dan ramalan cuaca yang disebabkan oleh peralihan monsun.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri disaran melibatkan penyertaan pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam jawatankuasa bencana sama ada peringkat negeri mahupun daerah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia penting untuk penyelarasan bantuan bencana sekiranya berlaku banjir pada penghujung tahun ini seperti diramalkan.

Menurutnya, semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang mahupun NGO perlu berganding bahu bagi memastikan persediaan menghadapi bencana dapat diselaraskan dan lancar.

"Semua pihak termasuk agensi kerajaan serta masyarakat juga perlu membuat persiapan awal supaya kita sudah mempunyai pasukan bantuan bencana apabila banjir berlaku.

"Jangan sudah banjir baharu tergesa-gesa nak tubuhkan, akhirnya menyebabkan penyelarasan tidak dapat berlaku. Saya harap jawatankuasa bencana peringkat daerah atau negeri libatkan semua pihak termasuk wakil rakyat, NGO supaya kita dapat bantu antara satu sama lain," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Meteorologi Kedah di sini pada Ahad.

Mahfuz berharap perbezaan politik dapat diketepikan tatkala rakyat berdepan musibah agar nasib mangsa bencana mendapat pembelaan sewajarnya.

"Jangan melihat kepada warna-warna politik waktu musibah, akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat. Seharusnya kerajaan negeri atau pejabat daerah memanggil wakil rakyat pembangkang dan NGO untuk terlibat dalam pasukan jawatankuasa bencana," katanya.

Menurutnya, tumpuan harus diberikan kepada usaha menghadapi bencana berbanding perkara-perkara lain.

Artikel Berkaitan:

"Bermulanya perubahan peralihan monsun menyebabkan hujan lebih banyak berbanding kebiasaan. Ini memerlukan persediaan menyeluruh untuk melihat kepada semua perkara supaya kita bersedia," katanya.

Mahfuz memberitahu, lawatan beliau bersama beberapa pemimpin pembangkang ke Jabatan Meteorologi adalah untuk meninjau prosedur yang dilaksanakan selain mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai taburan hujan yang memungkinkan berlakunya banjir.

"Ia penting untuk membolehkan wakil rakyat membuat persediaan dan persiapan bagi menghadapi bencana banjir.

"Malah pusat khidmat saya telah pun menubuhkan pasukan menghadapi bencana dan diharap mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri," ujarnya.

Menurutnya lagi, rakyat juga seharusnya bersedia untuk menghadapi situasi bencana dan hendaklah akur dengan arahan pihak berkuasa bagi memastikan aspek keselamatan terjamin.