Latih amal pastikan kesiapsiagaan tahap optimum: Nadma

Empangan Kenyir - Foto Bernama
Empangan Kenyir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan terpengaruh dengan khabar angin disebarkan melalui media sosial berkaitan Latih Amal Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan baru-baru ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan, latih amal itu merupakan program yang melibatkan agensi-agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap optimum.

Menurut kenyataan itu, semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi, masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana.

“Nadma selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal bagi meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan (resilient) terhadap bencana.

“Sebelum ini, latih amal sama pernah diadakan di Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highland dan beberapa empangan lain.

“Lain-lain latih amal yang pernah dianjurkan bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Sabah,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Nadma memaklumkan latih amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana.

“Selain meningkatkan kefahaman masyarakat, latih amal dapat menambahbaik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular dalam media sosial bahawa penduduk Terengganu berisiko diancam banjir besar akibat kemungkinan pecahnya Empangan Kenyir di Hulu Terengganu.