Tok Mat hairan pembangkang tak mahu PRU awal

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - "Hairan dan mengapa kali ini pembangkang tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) awal," kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, sejak PRU pertama sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, pihak pembangkang yang sering mendesak adakan pilihan raya awal, malah tidak tidur malam mahukan PRU.

"Tetapi PRU15 ni mereka tak nak pula. Saya pun hairan mengapa. Seluruh dunia, pembangkang nak 'lambat siang' dia (pembangkang) nak berkuasa, nak menang tetapi Malaysia ini tak tahulah," katanya selepas merasmikan Mini Karnival Kemahiran Keluarga Malaysia KEMAS Negeri Sembilan pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, keputusan untuk pembubaran Parlimen perlu mengambil pandangan daripada peringkat kabinet.

Jelas Hamzah perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan yang mengatakan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen selepas berbincang dengan kabinet.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan berhubung khabar angin yang mendakwa tembok kuat UMNO di Parlimen Rembau mampu dipecahkan jika bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersetuju bertanding di kerusi itu pada PRU15, Mohamad berkata, ia hanya khabar angin.

"Itu bukan cakap tuan punya badan, cakap-cakap orang biasalah nak pilihan raya ini macam-macam cakap ada," katanya.