Aktiviti bersih Sungai Batu Malim catat rekod MBOR

Para peserta menyusuri sungai menggunakan berakit untuk membersihkan Sungai Batu Malim di sini pada Sabtu. -Foto JBPM Pahang
Para peserta menyusuri sungai menggunakan berakit untuk membersihkan Sungai Batu Malim di sini pada Sabtu. -Foto JBPM Pahang
A
A
A

RAUB - Projek pembersihan Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 kilometer di sini pada Sabtu berjaya memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aktiviti membersih sungai dengan jarak paling panjang di negara ini.

Astro Awani melaporkan, sepanjang aktiviti itu,sebanyak 841 kilogram sampah berjaya dikutip peserta yang menyusuri sungai tersebut menggunakan rakit.

Menurut laporan itu, Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon, Mariam Ramli berkata, program tersebut diadakan bertujuan memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan sungai sebagai satu sumber penting kepada manusia dan hidupan lain.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu ada kesedaran bahawa sungai cukup penting kepada kehidupan dan mereka tidak sepatutnya membuang sampah sesuka hati kerana perbuatan itu boleh mencemarkan sumber air dan alam sekitar.

"Selain itu, sungai yang bersih dengan suasana yang nyaman juga menjadi satu daya tarikan pelancong," katanya.

Mariam berkata, program tersebut diadakan buat pertama kali sempena Program Alam Sekitar Sedunia, Jun lalu manakala penganjuran kali ini di Batu Malim sempena sambutan Hari Sungai Sedunia.

Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berangkat menyertai program tersebut.

Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad Sharizal Arman Shah, 36 berkata, program sayangi sungai itu turut disertai warga asing dan penduduk Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

"Selain bersama-sama membersihkan sungai, program ini juga satu riadah kepada peserta melalui aktiviti berakit menyusuri sungai.

“Sepanjang kami berakit bermula di Kampung Ulu Sungai, banyak sampai yang ditemui seperti tayar buruk, barangan plastik, lampin pakai buang dan sebagainya," katanya.

Muhammad Sharizal berkata, orang ramai perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai dan kawasan persekitarannya.

Sementara itu, Astro Awani turut mendapat pandangan seorang peserta warga Australia, Paul Martin, 60.

Paul berkata, aktiviti berakit selama hampir tujuh jam dengan keadaan air yang jernih dan bersih begitu menarik dan menyeronokkan.

“Tapi agak mengecewakan apabila turut ditemui sampah-sampah di buang ke sungai yang mencacatkan pandangan sepanjang kami berakit di sungai itu," katanya.