JKSM, AGC selesai bincang perlaksanaan hukuman diyat

Mohd Naím ketika menjadi panelis pada program Celik al-Quran 4:34 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
Mohd Naím ketika menjadi panelis pada program Celik al-Quran 4:34 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbincangan mengenai perlaksanaan konsep pampasan atau hukuman diyat telah selesai antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi beberapa siri perbincangan meja bulat (RTD).

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perbincangan tersebut mencapai kata sepakat bahawa hukuman diyat tidak boleh disabitkan di peringkat mahkamah syariah ekoran melibatkan mangsa jenayah seperti bunuh atau mendatangkan kecederaan.

"Hukuman diyat tidak boleh dilaksanakan (di mahkamah syariah) kerana ia melibatkan qisas dan diyat adalah alternatif kepada hukuman mati mandatori. Mahkamah syariah tiada hukuman mati kerana ia di bawah kuasa Mahkamah Sivil. Jadi dalam konteks JKSM, kita mendokong titah dan hasrat Yang di-Pertuan Agong supaya diyat diperkenalkan.

"Cuma dalam konteks bidang kuasa mahkamah syariah, kita rasa lebih sesuai AGC yang tentukan diyat (diperuntukkan) di bawah mahkamah mana (syariah atau sivil). Saya tidak tahu perbincangan di peringkat AGC dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri sudah sampai setakat mana," katanya ketika ditemui selepas program Celik al-Quran 4:34 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Ahad.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat dapat dilaksanakan dan pelaksanaan hukuman tersebut sudah dicadangkan oleh Baginda sejak lima hingga enam tahun lalu, namun ia masih di peringkat kajian hingga kini.

Dalam pada itu, Mohd Naim yang juga merupakan Ketua Hakim Syarie memaklumkan, pihaknya telah mencadangkan pindaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang bagi mengimbangi hukuman diyat dan mati mandatori.

"Antaranya yang berkaitan dengan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kalau katakan keluarga mangsa bersetuju untuk memaafkan dan menerima diyat sebagai pampasan, peruntukan perlu dipinda dan dibuat agar undang-undang itu dapat mengimbangi undang-undang sedia ada," ujarnya.

Pada Jun lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Jemaah Menteri.