[VIDEO] UMNO nafi dahului kabinet berhubung ketetapan PRU15

Ahmad (tengah) merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan Pontian, pada Ahad.
Ahmad (tengah) merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan Pontian, pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - UMNO menafikan parti itu mahu mendahului kuasa kabinet berhubung ketetapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO hanya menjadi pemandu bagi pembubaran Parlimen kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah daripada UMNO.

"Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian berkaitan mengenai PRU15. Yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah Perdana Menteri.

"Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

"Apatah lagi Perdana Menteri adalah sebahagian yang buat keputusan itu kerana beliau hadir dalam Mesyuarat Top Five, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Jumaat lalu," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mesyuarat MKT UMNO pada malam Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menolak kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan tindakan MKT UMNO menggesa PRU15 diadakan dengan secepat mungkin diibaratkan menempah maut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak yang menyatakan perkara itu tidak tahu mengenai persiapan yang dibuat. Beliau pun tak pernah hadir dalam pertemuan besar yang parti adakan.

"Mungkin beliau tidak mengetahui dan tidak terbabit. Namun sebenarnya kita sudah buat banyak persiapan PRU15 ini," katanya.