[VIDEO] Ahmad Maslan sahkan surat perjumpaan khas UMNO Selasa ini

Perjumpaan khas bersama Ahmad Zahid dan Ismail Sabri itu melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian. Gambar hiasan
Perjumpaan khas bersama Ahmad Zahid dan Ismail Sabri itu melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian. Gambar hiasan
A
A
A

PONTIAN - UMNO mengesahkan surat jemputan berhubung perjumpaan khas bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa yang tular adalah benar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perjumpaan melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

"Saya ingin mengesahkan pada Selasa ini akan ada perjumpaan sebagaimana yang terkandung dalam surat yang tular mempunyai ditandatangani saya itu.

"Ini bermakna pada Selasa nanti, perjumpaan tersebut dihadiri 764 wakil terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Puteri Bahagian dan Ketua Wanita Bahagian yang mewakili 191 Bahagian UMNO dari seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, perjumpaan khas tersebut akan memfokuskan kepada persiapan bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Perjumpaan khas ini bukan rahsia kerana ia merupakan perjumpaan untuk membincangkan tentang persiapan PRU15.

"UMNO sudah memohon untuk diadakan pada tahun ini juga. Tetapi kalau dicongak-congok bukanlah kita mahu diadakan ketika banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad (kiri) pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan Pontian, pada Ahad.
Ahmad (kiri) pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan Pontian, pada Ahad.

Menurut Ahmad, Presiden Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi jurucakap utama perjumpaan khas, Selasa ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan soal calon PRU15 akan disentuh ketika perjumpaan khas itu.

"Ahmad Zahid dan Ismail Sabri akan berucap pada perjumpaan khas nanti. Mereka akan jadi jurucakap utama.Berkenaan calon, UMNO belum muktamadkan, namun kita perlu dengar dahulu apa yang hendak disampaikan kedua-dua pimpinan utama ini.

"Bagaimanapun, UMNO tetap menggariskan ciri calon 'wali' iaitu winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima) serta 'likeable' (disenangi) seperti yang ditetapkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini," katanya.

Pada Sabtu, surat ditandatangani Ahmad berkenaan perjumpaan khas bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri, tular di media sosial sekali gus mencetuskan spekulasi berhubung PRU15 sudah semakin hampir.