KPDNHEP rancang Karnival Barangan Malaysia berskala besar

Rosol (tengah) bersama Abdul Yunus (kiri) dan Azman menyempurnakan Perasmian Karnival Barangan Malaysia 2022 di pekarangan Mydin Mall Meru Raya di Ipoh pada Sabtu.
Rosol (tengah) bersama Abdul Yunus (kiri) dan Azman menyempurnakan Perasmian Karnival Barangan Malaysia 2022 di pekarangan Mydin Mall Meru Raya di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang untuk mengadakan Karnival Barangan Malaysia dalam skala lebih besar seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, karnival tersebut akan mengumpulkan semua barangan tempatan merangkumi pelbagai segmen seperti perabot, pakaian, fesyen dan gaya hidup, batik, automotif kraftangan hinggalah ke barangan makanan serta produk halal.

Menurutnya, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) perlu menginjak ke fasa lebih besar dari kebiasaan termasuk melalui Karnival Barangan Malaysia berskala besar yang dijangka diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

"Saya amat berbangga melihat begitu banyak rangkaian produk tempatan yang bermutu tinggi, unik dan menarik dihasilkan di dalam negara kita.

"Karnival Barangan Malaysia yang julung-julung kali diadakan ini adalah antara satu platform diusahakan kementerian untuk membantu memperkasa ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan memartabatkan produk usahawan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Karnival Barangan Malaysia 2022 di pekarangan Mydin Mall Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco KPDNHEP, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof.

Rosol berkata, kementerian menyasarkan nilai jualan KBBM pada tahun ini meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun 2021 yang mencatat sebanyak RM3.2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, siri kedua bagi Karnival Barangan Malaysia akan diadakan di Plaza Angsana Mall, Johor Bahru pada 14 hingga 16 Oktober depan.

Jelasnya, selain KBBM, KPDNHEP turut menawarkan pelbagai inisiatif strategik setiap tahun untuk memartabatkan barangan Malaysia seperti Program Transformasi Produk dan Penandaan Logo Buatan Malaysia.