'UMNO, Bersatu perlu terlibat sama jayakan perpaduan ummah'

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menegaskan, semua parti utama Melayu Islam termasuk UMNO dan Bersatu perlu terbabit bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia diikuti bersama kelompok bukan Islam yang tidak ekstrem dalam kospep menyatukan masyarakat majmuk di bawah kepimpinan Islam.

Menurutnya, kumpulan Islam di negara ini tidak boleh hanya terdiri daripada Pas dan UMNO tanpa melibatkan Bersatu.

“Kalau Pas dan UMNO saja atau Pas dan Bersatu saja, maka ia tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna.

"Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia.

“Justeru, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Pas seharusnya tidak boleh dipaksa untuk memilih sama ada UMNO mahupun Bersatu dalam kerjasama politik bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, tegas Timbalan Presiden parti tersebut, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, UMNO dan Bersatu perlu bermuafakat duduk semeja untuk mencapai kestabilan politik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Hadi mengingatkan bahawa Pas wajib mengambil teladan daripada sunnah nabi dalam sirahnya dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.

Ujar beliau, sebarang perselisihan antara parti berteraskan Melayu dan Islam di negara ini a perlu diselesaikan berpandukan al-Quran dan sunnah.